PUTRAJAYA – Malaysia menghormati penghakiman yang disampaikan oleh Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ) pada 19 November 2026 berhubung Application of the Convention on the Prevention and Punishment of the Crime of Genocide (The Gambia v. Myanmar).
Kementeri Luar Negeri dalam satu kenyataan berkata, Malaysia menegaskan semula komitmen untuk menjunjung undang-undang antarabangsa, termasuk tanggungjawabnya sebagai Negara Pihak kepada Konvensyen Genosid.
Menurutnya, hasil dapatan ICJ adalah selaras dengan pendirian Malaysia dalam melindungi semua golongan rentan yang terdedah kepada ancaman.
“Malaysia akan terus memperjuangkan penyelesaian yang komprehensif dan berkekalan bagi krisis yang berlarutan ini, termasuk dengan secara aktif melibatkan semua pihak berkaitan.
“Ini untuk melaksanakan langkah-langkah konkrit bagi meringankan penderitaan komuniti Rohingya yang berlindung di negara ini,” katanya, pada Ahad.
Kementerian itu menambah, Malaysia juga akan mengadakan libat urus dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB); Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC); ASEAN dan pemegang taruh lain dalam perkara-perkara berbangkit daripada penghakiman tersebut.
Pada 19 November lalu, ICJ memutuskan Myanmar melakukan genosid terhadap kumpulan minoriti Rohingya di negara itu.
Kes itu dibawa oleh Gambia berdasarkan Konvensyen Genosid Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) 1948, yang mewajibkan setiap negara mengambil tindakan terhadap negara lain yang disyaki melanggar perjanjian antarabangsa itu, yang diwujudkan selepas Perang Dunia Kedua.
Lebih sejuta etnik Rohingya kini menetap di tempat perlindungan beratapkan kanvas dan berdinding buluh di Cox’s Bazar selepas melarikan diri daripada tindakan keras tentera Myanmar dan kumpulan militia Buddha pada 2017.


