
KUALA LUMPUR – Meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik global, pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) sebanyak 5.5 peratus pada suku ketiga 2026 mencerminkan prestasi ekonomi negara yang memberangsangkan.
Menteri Ekonomi, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, pertumbuhan itu didorong sektor pembuatan dan perkhidmatan yang terus menjadi antara penyumbang utama kepada perkembangan ekonomi negara.
Beliau berkata, pencapaian tersebut meyakinkan, namun kerajaan perlu memastikan pertumbuhan ekonomi yang dicatatkan turut memberikan manfaat secara langsung kepada rakyat.
“Pada masa sama, angka pertumbuhan itu merupakan satu pencapaian yang meyakinkan. Namun, kita perlu terus mencari jalan supaya pertumbuhan berkenaan benar-benar memberikan manfaat kepada rakyat, selain memastikan isu-isu lain berkaitan ekonomi terus diberikan perhatian,” katanya selepas merasmikan Persidangan Urologi Malaysia Kali Ke-35 di sini.
Mengulas lanjut, Akmal berkata, beberapa sektor ekonomi turut mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan, khususnya sektor pembuatan yang berkembang 7.7 peratus pada suku ketiga berbanding 7.3 peratus pada suku sebelumnya.
Prestasi itu menunjukkan sektor berkenaan terus memainkan peranan penting dalam menyokong pertumbuhan ekonomi negara, walaupun persekitaran ekonomi global masih berdepan pelbagai cabaran.



