
TAWAU – Model pendidikan Sabah Maju Jaya (SMJ) dan pendekatan Malaysia MADANI dalam membangun modal insan negara diketengahkan di pentas antarabangsa menerusi pembentangan seorang anak jati Tawau, Fifi Rafiedah Ariff pada Persidangan Penyelidikan Antarabangsa UNITAR Ke-4 (4UIRC) di Brussels, Belgium.
Pembentangan yang berlangsung pada 18 hingga 19 November lalu di United Nations House itu memberi peluang kepada Fifi untuk berkongsi pendekatan kerajaan Sabah dalam memperluas akses pendidikan, menangani jurang digital dan memastikan tiada golongan pelajar tercicir khususnya di kawasan luar bandar.
Menerusi kertas kajian bertajuk ‘Empowering the Next Generation: Evaluating Sabah’s Educational Assistance Framework under the Sabah Maju Jaya Roadmap (Sustainable Human Capital Development 2021–2026’, Fifi mengetengahkan keberkesanan ekosistem bantuan pendidikan negeri merangkumi Bantuan Tunai Pendaftaran IPT (BUDI), Bantuan Ihsan Komputer (BAIK), Tabung Pendidikan Negeri Sabah (TPNS) dan Biasiswa Kerajaan Negeri Sabah (BKNS).
Beliau berkata, antara pencapaian yang dikongsikan termasuklah peningkatan peruntukan BKNS sebanyak 182 peratus kepada RM155 juta pada 2026, peranan BUDI dan BAIK dalam membantu meningkatkan akses pendidikan tinggi dalam kalangan pelajar B40 luar bandar dan TPNS yang membantu 15,629 pelajar meneruskan pengajian.

Selain itu, katanya, penekanan terhadap bidang Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM) serta Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) juga menyumbang kepada kadar kebolehpasaran graduan tajaan negeri sebanyak 85.4 peratus dalam tempoh 12 bulan selepas tamat pengajian.
“Lebih penting, pembentangan ini turut mengaitkan dasar SMJ dan pendekatan Malaysia MADANI sebagai model pembangunan pendidikan inklusif yang bukan sahaja memberi tumpuan kepada pencapaian akademik, malah kesejahteraan sosial dan masa depan generasi muda.
“Ketika gelombang protes mahasiswa dan Generasi Z melanda beberapa negara di Eropah, Amerika Latin, dan Asia pada tahun 2026 akibat kos sara hidup serta pemotongan bajet pendidikan, dapat dilihat pelaburan strategik Malaysia dalam pendidikan inklusif, jaringan keselamatan sosial dan pelibatan belia dalam penggubalan dasar berjaya memupuk kestabilan serta menyokong Matlamat Pembangunan Mampan PBB (SDG 4, SDG 9, dan SDG 10),” katanya dalam Kenyataan, pada Ahad.
Sepanjang persidangan itu, beliau turut mengikuti perkongsian antarabangsa berkaitan pencegahan perkahwinan kanak-kanak, keselamatan insan, inovasi pembelajaran maya serta peranan pendidikan dalam keselamatan global.
Fifi juga mengadakan lawatan ke Parlimen Eropah bagi melihat secara dekat sistem penggubalan dasar, proses demokrasi dan mekanisme tadbir urus institusi perundangan Kesatuan Eropah.
Dalam pada itu, Fifi yang juga bekas Pegawai Interim Kementerian Belia Sukan Sabah (KBSS) Bahagian Tawau itu merakamkan penghargaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor atas keutamaan yang diberikan kepada sektor pendidikan menerusi pelbagai inisiatif dan bantuan untuk generasi muda di negeri ini.
“Saya turut berasa amat bangga apabila rakan-rakan delegasi antarabangsa di persidangan ini sendiri memuji kemuliaan serta visi seorang pemimpin yang benar-benar membela nasib pelajar di peringkat akar umbi,” ujarnya.
Beliau turut menzahirkan penghargaan kepada Timbalan Ketua Menteri II merangkap Menteri Kewangan Sabah, Datuk Seri Panglima Masidi Manjun; Menteri Pembangunan Belia, Kemajuan Sukan dan Ekonomi Kreatif Sabah, Datuk Nizam Abu Bakar Titingan serta Ahli Parlimen Kalabakan, Datuk Andi Muhammad Suryady Bandy atas sokongan yang diberikan bagi merealisasikan penyertaannya ke persidangan berkenaan.
Untuk rekod, Fifi merupakan Pengasas Persatuan Usahawan Wanita Prihatin Sabah (SAYA Entrepreneur) serta dilantik sebagai Pengerusi Negara Malaysia bagi Sayap Kepelbagaian, Inklusi dan Perwakilan di bawah G100 Global Women Leaders pada Jun 2026, Duta Global Malaysia bagi The Future Youth Global Network (FYGN) serta Ikon Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) Tawau.



