
KUALA KANGSAR – Lebih 10,000 peserta membanjiri Dataran Pavilion, di sini, bagi memeriahkan Larian Hari Keputeraan Sultan Nazrin Shah (LHKSNS) 2026 yang turut disertai Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan Raja Permaisuri Perak, Tuanku Zara Salim, pada Ahad.
Acara yang menghimpunkan seramai 10,014 peserta itu diadakan sempena sambutan Hari Keputeraan Sultan Nazrin yang ke-70 pada 7 November lalu, sekali gus menjadi wadah mengeratkan hubungan antara institusi diraja dengan rakyat menerusi aktiviti sukan dan rekreasi.
Turut berkenan berangkat menyertai acara berkenaan ialah Raja Dihilir Perak, Raja Iskandar Dzurkarnain Sultan Idris Shah, manakala Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad serta barisan Exco Kerajaan Negeri turut hadir.
Larian yang bermula seawal jam 6.45 pagi itu menyaksikan Sultan Nazrin berkenan melepaskan peserta kategori 15 kilometer (km) membabitkan 4,741 peserta, sebelum melepaskan secara serentak kategori 10km dan 7km yang masing-masing disertai 3,372 dan 1,898 peserta pada jam 7 pagi.
Sementara itu, kategori tetamu kehormat sejauh 3km membabitkan orang besar jajahan, Exco Kerajaan Negeri dan ketua-ketua jabatan dilepaskan oleh adinda baginda, Raja Datuk Seri Yong Sofia.
Turut mencuri perhatian, penyertaan anakanda Sultan Nazrin dan Tuanku Zara, Raja Kecil Besar Perak, Raja Datuk Seri Azlan Muzzaffar Shah dalam kategori 15km, manakala Raja Datuk Seri Nazira Safya menyertai kategori 7km.

Keunikan penganjuran kali ini turut terserlah apabila laluan larian merentasi kawasan kampung sekitar Mukim Sayong, Kota Lama Kanan serta Jambatan Sultan Abdul Jalil Shah, dengan pelbagai aktiviti kebudayaan dan warisan tempatan disediakan sepanjang laluan.
Antara pengisian yang menarik perhatian peserta ialah demonstrasi pembuatan labu sayong, permainan tradisional gasing dan sepak raga, persembahan rebana serta gendang Cina dan India, selain stesen yang menyediakan pelbagai kuih-muih tradisional.
Selesai acara larian, Sultan Nazrin berkenan meluangkan masa bersama rakyat di Laman Budaya bagi menyaksikan demonstrasi dan pameran aset Pasukan Gerakan Am (PGA) dari Pusat Latihan PGA Ulu Kinta, Ipoh, selain mengunjungi reruai Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan (FAMA) dan Jabatan Pertanian Negeri Perak.
Baginda berdua kemudian berkenan menghadiri santapan yang diserikan dengan persembahan Kumpulan Stomp dan Percussion Politeknik Ungku Omar (PUO) Ipoh, Kumpulan Selendang Perak serta tarian perang Senoi Praaq oleh Batalion 3 PGA Bidor.
Kemuncak acara menyaksikan Tuanku Zara berkenan menyampaikan hadiah kepada tiga peserta terbaik bagi kategori 15km dan 10km.
Bagi kategori 15km, pemenang tempat pertama menerima wang tunai RM800 berserta plak, diikuti RM700 dan plak bagi tempat kedua serta RM600 dan plak bagi tempat ketiga.
Pemenang kategori 10km pula membawa pulang RM600 dan plak bagi tempat pertama, RM500 dan plak bagi tempat kedua serta RM400 dan plak bagi tempat ketiga.
Penganjuran larian itu bukan sahaja menyemarakkan sambutan Hari Keputeraan Sultan Perak, malah turut mengangkat warisan budaya dan tradisi masyarakat setempat sebagai sebahagian daripada tarikan Kuala Kangsar.



