
ISTANBUL – Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump berhasrat memeterai perjanjian jangka panjang dengan Iran bagi memastikan negara itu tidak memperoleh senjata nuklear walaupun selepas beliau meninggalkan Rumah Putih.
Menurut laporan Anadolu, Trump dalam temu bual telefon bersama Fox News semalam berkata, perjanjian itu perlu bersifat kekal supaya presiden AS pada masa depan tidak boleh mengubah pendirian dan membenarkan Iran membangunkan senjata nuklear.
“Kita mencapai perjanjian, kemudian mereka melanggarnya pada keesokan hari.
“Apa yang saya lakukan ialah memastikan sekiranya kita mempunyai presiden tidak cekap dalam tempoh empat, 15 atau 20 tahun akan datang, saya tidak mahu membuat perjanjian yang tidak kekal,” katanya.
Dia menegaskan perjanjian baharu itu perlu memastikan Iran tidak dapat membangunkan senjata nuklear dan pentadbiran AS pada masa depan tidak menarik balik sekatan terhadap pembangunan senjata nuklear Iran.
Mengulas dakwaan Washington mahu menukar rejim di Tehran, Trump berkata pentadbirannya kini berurusan dengan kumpulan kepemimpinan ketiga Iran.
“Jadi, anda boleh menganggapnya sebagai perubahan rejim secara menyeluruh,” katanya.
Trump menyifatkan pemimpin Iran ketika ini mungkin lebih terbuka kepada rundingan, namun mengakui urusan dengan mereka masih sukar.


