
KUNAK – Program Lawatan Sambil Belajar (LASABEL) melalui pengalaman secara langsung membantu 44 murid Sekolah Kebangsaan (SK) Mostyn memahami sesuatu perkara dengan lebih mendalam menerusi pemerhatian dan interaksi di lokasi lawatan.
Ketua Guru Pengiring, Yaakob Saleh berkata, program LASABEL selama empat hari bermula Khamis lepas ke Kota Kinabalu dan Kundasang itu juga meningkatkan pengetahuan murid serta memberikan pengalaman baharu di luar bilik darjah.
“Program ini bukan sekadar membawa murid bersiar-siar, sebaliknya memberi peluang kepada mereka menimba ilmu, menambah pengalaman serta melihat sendiri perkara yang selama ini hanya dipelajari melalui buku dan pembelajaran di dalam kelas.
“Program ini turut menjadi platform kepada guru untuk menerapkan nilai-nilai murni dalam kalangan murid, termasuk mematuhi peraturan, menepati masa, bertanggungjawab dan bekerjasama dalam kumpulan,” katanya dalam kenyataan, pada Ahad.
Menurut Yaakob, LASABEL disertai lapan guru pengiring dengan mengunjungi beberapa lokasi menarik di Kota Kinabalu antaranya Tapak Ramsar Kota Kinabalu Wetland, Green Connection Aquarium, Petrosains PlaySmart, Balai Seni Lukis Sabah dan Masjid Bandaraya Kota Kinabalu.
“Manakala di Kundasang, murid-murid berpeluang mengunjungi Desa Cattle Farm dan gerai sayur yang merupakan premis menjual hasil tani tanah tinggi yang segar.
“Sepanjang program, setiap peserta membawa buku nota selainalakkan mengemukakan pertanyaan kepada pegawai atau kakitangan bertugas di lokasi yang dikunjungi bagi mendapatkan maklumat serta penjelasan lebih lanjut,” ujarnya.
Justeru, Yaakob berharap agar program khusus untuk Tahun Enam itu dapat menjadi kenangan bermakna kepada murid selain menyemai minat untuk terus meneroka ilmu pengetahuan melalui pengalaman dan pembelajaran di luar bilik darjah.
Turut menyertai LASABEL, Guru Besar SK Mostyn, Noriani Manah.



