
RANAU – Seramai 71 pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan Agama Mohd Ali Ranau menyertai Slot Penghijauan Bumi sempena Program Kem Kepimpinan Generasi MADANI 2026, di D’Masanog Gardenstay.
Guru Sekolah Menengah Agama Mohd Ali Ranau, Fidtri Lahasing berkata, pelaksanaan slot berkenaan memberi pendedahan kepada pelajar mengenai kepentingan menjaga alam sekitar melalui aktiviti penghijauan termasuk penanaman sebanyak 73 anak pokok daripada pelbagai spesies.
Katanya, program itu bukan sekadar memberi pengetahuan secara teori, malah menggalakkan pelajar mengambil bahagian secara langsung dalam usaha memelihara alam sekitar.
“Pihak sekolah turut merancang mekanisme susulan melalui program Sekolah Rakan Alam Sekitar (SERASI) yang dilaksanakan sepanjang tahun bagi memastikan amalan penghijauan dan penjagaan alam sekitar dapat diteruskan secara konsisten selepas program ini.
“Untuk merealisasikan hasrat ini, modul SERASI digerakkan oleh kelab & persatuan di sekolah ini”, katanya ketika dihubungi wartawan The Malaysia Press, pada ahad.

Mengulas lanjut mengenai galakan sekolah, pelajar turut disasarkan menjadi agen perubahan dengan menyebarkan kesedaran mengenai kepentingan menjaga alam sekitar kepada ahli keluarga dan komuniti setempat.
“Menjaga alam sekitar perlu dibawa sebagai budaya walau di mana sahaja berada,” jelasnya.
Khidmat komuniti itu diharap dapat membentuk budaya cintakan alam sekitar dalam kalangan generasi muda, sekali gus menyumbang kepada kelestarian alam untuk masa hadapan.



