
KUALA LUMPUR – Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) merekodkan pendapatan pelaburan sebanyak RM83.32 bilion bagi tempoh sembilan bulan pertama berakhir 30 September 2026, meningkat 30 peratus berbanding RM63.99 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Badan berkanun itu memaklumkan pendapatan pelaburan bagi suku ketiga 2026 turut meningkat tiga peratus kepada RM25.82 bilion berbanding RM25.07 bilion yang dicatatkan pada suku sama tahun sebelumnya.
Ketua Pegawai Eksekutif KWSP, Ahmad Zulqarnain Onn berkata, prestasi bagi tempoh sembilan bulan itu mencerminkan daya tahan portfolio pelaburan yang pelbagai serta kesinambungan strategi pelaburan yang dilaksanakan sebelum ini.
“Pada awal suku ini, risiko berkaitan tahap pinjaman kerajaan, inflasi berterusan dan penilaian saham berkaitan kecerdasan buatan (AI) semakin meningkat.
“Perkembangan ini mendorong kami untuk terus berdisiplin dalam menguruskan portfolio, mengimbangi peluang pelaburan dan risiko yang muncul, selain kekal fokus menjana pulangan mampan dalam jangka panjang serta memelihara kesejahteraan persaraan ahli,” katanya dalam satu kenyataan pada Isnin.

Menurut KWSP, pendapatan daripada pelaburan ekuiti meningkat tiga peratus kepada RM17.41 bilion pada suku ketiga 2026 berbanding RM16.95 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Jumlah itu menyumbang 67 peratus daripada keseluruhan pendapatan pelaburan bagi suku berkenaan.
Prestasi tersebut disokong daya tahan pasaran ekuiti global, pendapatan korporat yang kukuh, pelaburan berterusan dalam sektor berkaitan AI serta keadaan ekonomi yang secara umumnya menggalakkan.
KWSP berkata, keadaan pasaran itu turut memberi peluang kepada pengurus dana untuk menguruskan portfolio secara aktif dan menjana nilai, sekali gus meningkatkan pendapatan ekuiti.
Bagi instrumen pendapatan tetap, KWSP merekodkan sumbangan sebanyak RM7.12 bilion atau 28 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan suku ketiga.
Sementara itu, pelaburan dalam infrastruktur dan hartanah mencatatkan pendapatan RM890 juta, manakala instrumen pasaran wang merekodkan keuntungan RM400 juta bagi suku berkenaan.
Setakat 30 September 2026, jumlah aset pelaburan KWSP mencecah RM1.55 trilion dengan 38 peratus daripadanya dilaburkan di peringkat global.
Pelaburan antarabangsa menjana pendapatan RM13.68 bilion, merangkumi 53 peratus daripada jumlah pendapatan pelaburan bagi suku ketiga.
Mengikut jenis simpanan, pendapatan pelaburan bagi Simpanan Konvensional berjumlah RM21.39 bilion, manakala Simpanan Shariah merekodkan RM4.43 bilion.
Dari segi keahlian, KWSP mendaftarkan kira-kira 659,000 ahli baharu sepanjang sembilan bulan pertama 2026, menjadikan jumlah keseluruhan keahliannya melebihi 18.6 juta.
Daripada jumlah itu, ahli aktif meningkat kepada 11.2 juta dengan nisbah ahli aktif kepada tidak aktif bertambah baik kepada 60:40.
Jumlah majikan aktif pula meningkat kepada 646,686 setakat September 2026 selepas 54,336 majikan baharu mendaftar sepanjang tempoh berkenaan.
Dalam perkembangan sama, jumlah caruman bagi suku ketiga 2026 meningkat 9.34 peratus kepada RM30.44 bilion berbanding RM27.84 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
“Jumlah caruman sukarela turut mencecah RM18.27 bilion bagi sembilan bulan pertama tahun ini, mencerminkan kesedaran berterusan ahli untuk meningkatkan simpanan persaraan melebihi caruman mandatori,” katanya.
KWSP berkata, peningkatan itu turut disokong platform digitalnya yang memudahkan urusan caruman sukarela dalam kalangan ahli.
Selain itu, jumlah ahli sektor formal Malaysia yang mencarum melebihi kadar berkanun menerusi i-Topup meningkat 6.9 peratus kepada hampir 244,350 orang berbanding tempoh sama tahun lalu.

