
Oleh: Eveline B. & Nana Mohamad
SIBU – Kementerian Komunikasi sedang meneliti tindakan terhadap kontraktor yang gagal menyiapkan dua projek pembangunan di Sarawak mengikut jadual, termasuk kemungkinan penamatan kontrak sekiranya prestasi pelaksanaan tidak memuaskan.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, kedua-dua projek yang dilaksanakan kontraktor sama mengalami kelewatan antara dua hingga empat bulan, sekali gus memerlukan penilaian lanjut oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak.
Menurutnya, projek pembinaan kuarters kakitangan Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sri Aman bernilai lebih RM9.98 juta mengalami kelewatan dua bulan, manakala projek bangunan tambahan Jabatan Penerangan (JaPen) Sarawak bernilai lebih RM19.77 juta lewat empat bulan.
Beliau berkata, tempoh pelaksanaan asal bagi kedua-dua projek tersebut masing-masing ditetapkan selama 18 dan 24 bulan.
“Kami akan menunggu nasihat daripada JKR Sarawak, apa pendapat profesional mereka dan kemudian kami akan memutuskannya,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke RTM Sibu, pada Isnin.
Nie Ching menjelaskan bahawa JKR Sarawak akan mengadakan pertemuan dengan kontraktor terbabit bagi menilai kemajuan kerja sebelum mengemukakan syor mengenai tindakan selanjutnya.
Katanya, kemungkinan penamatan kontrak tidak diketepikan, namun sebarang keputusan akan dibuat berdasarkan penilaian profesional JKR Sarawak.
Sehubungan itu, kedua-dua projek berkenaan akan terus dipantau bagi memastikan tindakan sewajarnya dapat diambil terhadap kelewatan pelaksanaan.
Dalam perkembangan berkaitan, Nie Ching berkata, projek pembinaan 16 unit kuarters kakitangan RTM Sibu bernilai RM8.86 juta pula menunjukkan kemajuan yang memuaskan.
Menurutnya, projek berkenaan diberikan lanjutan masa selama 45 hari berikutan keadaan tanah di tapak pembinaan yang memerlukan kerja cerucuk melebihi anggaran awal.
Beliau berkata, tarikh siap projek tersebut kini ditetapkan pada 17 September 2027, dengan kemudahan merangkumi 22 petak parkir dan sebuah taman permainan.
Sementara itu, projek pembinaan bangunan RTM Bintulu dilaporkan berjalan mengikut jadual, manakala projek di Limbang mengalami kelewatan sembilan hari dan masih berada pada peringkat awal pelaksanaan.



