
KUANTAN – Lebih 120 pekebun kecil Kampung Bolok Hilir, Temerloh mendakwa buntu selepas permohonan hak milik tanah yang diusahakan sejak lebih 20 tahun lalu ditolak, selain mendakwa kawasan itu bakal diserahkan kepada peserta lain.
Mereka mendakwa berisiko kehilangan kebun kelapa sawit yang menjadi sumber pendapatan utama keluarga selepas notis berkaitan pelaksanaan program Skim Tanah Rakyat (STR) di kawasan berkenaan pada Jun lalu.
Seorang pekebun, Zakaria Yaakob, 53, berkata dia sudah berulang kali mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik tanah itu sejak 2004, namun tidak membuahkan hasil.
Menurutnya, ketika dalam proses permohonan, dia menanam semula kelapa sawit sekitar 2012 dan kini mula memperoleh hasil daripada tanaman berkenaan.
“Hasil yang diperoleh masih belum seberapa kerana kebanyakan pokok masih kecil, namun pendapatan itu penting bagi menampung perbelanjaan harian termasuk persekolahan anak-anak,” katanya.
Seorang lagi pekebun, Suriawati Abu Seman, 44, berkata kebun berkenaan merupakan satu-satunya sumber pendapatan keluarganya selepas hampir 20 tahun mengusahakan tanah terbabit.
“Kehilangan kawasan itu akan memberi kesan besar kepada kehidupan keluarga saya kerana kami tidak mempunyai sumber pendapatan lain,” katanya.
Sementara itu, Pengerusi Pertubuhan Suara Anak Pahang, Haslihelmy DM Zulhasli, berharap kerajaan negeri dapat mengkaji semula pelaksanaan program berkenaan dengan mengambil kira nasib pekebun yang sudah lama mengusahakan tanah itu serta pernah mengemukakan permohonan mendapatkan hak milik.
Beliau berkata demikian selepas membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia di sini, petang semalam, bagi meminta siasatan dijalankan berhubung dakwaan keraguan dalam pemilihan peserta STR di kawasan berkenaan.
“Perkara ini juga telah dirujuk kepada pihak peguam untuk mencari jalan penyelesaian menerusi perundangan,” katanya.
Usaha mendapatkan maklum balas pihak berkuasa berkaitan berhubung dakwaan berkenaan masih dijalankan.



