
SEREMBAN – Datuk Ismail Lasim meletakkan jawatan sebagai Menteri Besar Negeri Sembilan berkuat kuasa Isnin menerusi surat peletakan jawatan yang dikemukakan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir.
Setiausaha Agung Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO telah menerima salinan surat peletakan jawatan berkenaan.
Beliau berkata, BN menghormati keputusan Ismail dan merakamkan penghargaan atas segala khidmat bakti beliau sepanjang menerajui pentadbiran negeri itu.
“BN berharap keputusan berkenaan dapat membuka lembaran baharu bagi memulihkan kestabilan politik serta memastikan pentadbiran negeri kembali berfungsi dengan lancar.
“BN akan memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan proses peralihan kepimpinan berjalan secara teratur dengan mengambil kira kedudukan majoriti Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) serta perkenan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan,” katanya dalam kenyataan pada Isnin.
Menurut Zambry, Pengerusi BN akan mengemukakan cadangan calon Menteri Besar baharu untuk dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, selaras dengan peruntukan Undang-Undang Tubuh Kerajaan Negeri Sembilan.
Peletakan jawatan itu berlaku ketika negeri berkenaan berdepan kemelut politik dan institusi diraja susulan pertikaian mengenai kedudukan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan yang berlarutan sejak April lalu.
Bagaimanapun, perkembangan pada 10 November lalu menyaksikan Ismail bersama 10 bekas anggota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) menarik balik surat bertarikh 17 September yang dikemukakan kepada Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja berhubung kedudukan Tuanku Muhriz.



