
SHAH ALAM – Kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Pelabuhan Klang dilaporkan tidak mengalami banjir sejak hampir tiga tahun lalu susulan pelaksanaan pelbagai projek mitigasi dan penambahbaikan sistem saliran.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Pelabuhan Klang, Azmizam Zaman Huri berkata, pencapaian itu hasil kerjasama erat antara kerajaan Selangor dan Persekutuan, Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) Klang, JPS Selangor serta Majlis Bandaraya Diraja Klang (MBDK).
“Di DUN Pelabuhan Klang, kita sudah hampir tiga tahun tidak mengalami banjir dan saya sudah boleh senyum.
“Bagaimanapun, saya tidak mahu terlalu yakin kerana apabila tidak ada banjir, tiba-tiba berlaku pula,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika membahaskan Rang Undang-Undang Enakmen Perbekalan 2027 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini pada Isnin.
Azmizam menjelaskan, sebelum ini kawasan berkenaan masih berisiko mengalami banjir kilat sekiranya hujan melebihi 60 milimeter dalam tempoh sejam.
Justeru, beberapa langkah penambahbaikan dilaksanakan termasuk membesarkan kolam takungan bersaiz kecil selain membersihkan kolam yang tersumbat, kotor dan dipenuhi keladak.
Katanya, kerja penyelenggaraan sistem perparitan, saliran dan longkang turut memainkan peranan penting dalam mengurangkan risiko banjir di kawasan berkenaan.
“Semua ini hasil kerjasama pelbagai pihak dan kita bukan mahu menuding jari mencari salah, sebaliknya lebih kepada usaha menyelesaikan masalah,” katanya.
Dalam pada itu, menjawab soalan celahan ADUN Seri Serdang, Abbas Azmi mengenai cadangan menggunakan rizab kerajaan negeri sekiranya peruntukan sedia ada tidak mencukupi untuk menangani masalah banjir, Azmizam berkata, perkara itu bergantung kepada kebijaksanaan kerajaan negeri menguruskan kewangan.
“Saya setuju supaya kerajaan negeri mengkaji juga tentang bagaimana hendak menggunakan rizab-rizab kerajaan untuk membantu menyelesaikan masalah banjir,” katanya.



