
Oleh: Nana Mohamad & Eveline B.
SIBU – Kementerian Komunikasi memperkukuh persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) Sarawak ke-13 menerusi penyediaan tiga pusat media khas serta kemudahan di 156 Pusat Sebaran Maklumat Nasional (NADI) bagi memudahkan urusan liputan pengamal media di seluruh negeri.
Timbalan Menteri Komunikasi, Teo Nie Ching berkata, pusat media berkenaan akan disediakan di Kuching, Sibu dan Miri bagi memastikan petugas media mendapat akses kepada kemudahan sokongan sepanjang tempoh pilihan raya.
“Kami telah membuat keputusan untuk menyediakan tiga pusat media, satu di Kuching, satu di Sibu dan satu lagi di Miri,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Radio Televisyen Malaysia (RTM) Sibu, pada Isnin.
Nie Ching berkata, penyediaan lebih daripada satu pusat media penting memandangkan keluasan Sarawak serta keperluan pengamal media membuat liputan di kawasan berbeza, termasuk luar bandar dan pedalaman.
Jelasnya, pusat media yang diselaraskan Jabatan Penerangan Malaysia (JaPen) itu akan dilengkapi kemudahan internet berkelajuan tinggi, ruang kerja serta peralatan asas seperti mesin pencetak bagi membantu kelancaran tugasan wartawan.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau berkata, kesemua 156 NADI di Sarawak turut akan dibuka kepada pengamal media sebagai kemudahan tambahan sepanjang pilihan raya.
Menurutnya, setiap pusat berkenaan menyediakan capaian internet berkelajuan sekurang-kurangnya 100 megabit sesaat (Mbps), sekali gus memudahkan petugas media menghantar laporan, gambar dan video dari lokasi liputan.
Daripada jumlah keseluruhan itu, enam NADI terletak di bahagian Sibu dan boleh dimanfaatkan pengamal media yang menjalankan tugasan di kawasan berkenaan.
Kemudahan NADI yang dikendalikan di bawah Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) juga menyediakan ruang kerja bagi menyokong keperluan petugas media di lapangan.
Selain kemudahan fizikal, penyampaian maklumat yang tepat serta usaha menangani penyebaran berita palsu turut menjadi antara aspek penting sepanjang tempoh pilihan raya.
Jabatan Penerangan, RTM dan BERNAMA masing-masing mempunyai peranan dalam penyaluran maklumat serta penyampaian berita kepada masyarakat.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 28 November sebagai hari penamaan calon bagi PRN Sarawak ke-13, diikuti pengundian awal pada 8 Disember dan hari pengundian pada 12 Disember 2026.



