Mohd Shahar Abdullah
KUALA LUMPUR – Kerajaan tidak bercadang mewujudkan koridor ekonomi baharu di Wang Kelian, sebaliknya akan memperkukuh kerangka Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER) dan Zon Ekonomi Sempadan (BEZ) yang sedang dimuktamadkan.
Timbalan Menteri Ekonomi, Datuk Mohd Shahar Abdullah berkata, pendekatan itu bagi mengelakkan pertindihan fungsi dengan Pihak Berkuasa Pelaksanaan Koridor Utara (NCIA) serta memaksimumkan potensi perdagangan rentas sempadan Malaysia-Thailand.
Beliau berkata, kerajaan sedang memuktamadkan kajian pembangunan BEZ membabitkan empat negeri iaitu Perlis, Kedah, Perak dan Kelantan, dengan tumpuan kepada pintu-pintu sempadan strategik.
“Kerajaan Thailand juga sedang memuktamadkan kajian seumpamanya dengan kerjasama Bank Dunia bagi menilai potensi pembangunan wilayah di kawasan sempadan negara itu dengan Malaysia,” katanya, lapor Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi Kamar Khas di Dewan Rakyat, hari ini.
Mohd Shahar menjawab soalan Rushdan Rusmi (PN-Padang Besar) mengenai cadangan menjadikan Koridor Wang Kelian-Padang Besar-Bukit Kayu Hitam sebagai model ekonomi sempadan Malaysia-Thailand.
Mohd Shahar berkata, cadangan pembangunan BEZ Malaysia-Thailand akan dibawa ke rundingan dua hala menerusi Jawatankuasa Malaysia-Thailand mengenai Strategi Pembangunan Bersama bagi Kawasan Sempadan atau platform lain yang bersesuaian.
Beliau turut menyambut baik pandangan bahawa Malaysia tidak seharusnya sekadar menjadi laluan transit perdagangan negara jiran, sebaliknya perlu memainkan peranan lebih aktif melalui aktiviti nilai tambah dan pemprosesan produk hiliran.
Antara inisiatif yang sedang dilaksanakan di kawasan berkenaan ialah Perlis Inland Port (PIP), Lembah Chuping dan pembangunan Bukit Kayu Hitam.
Beliau berkata, PIP kini mengendalikan kira-kira 100,000 unit bersamaan 20 kaki (TEU) setahun, dan dijangka meningkat kepada 180,000 TEU setahun.
“Pembangunan kawasan sempadan merupakan antara agenda penting kerajaan bagi memperkukuh ekonomi wilayah, meningkatkan keterhubungan rentas sempadan serta memperluas aktiviti perdagangan,” katanya.
Mohd Shahar berkata, pelaksanaan strategi di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) bagi tempoh 2026 hingga 2030 memberi tumpuan kepada sektor pertumbuhan dan bernilai tinggi termasuk elektrik dan elektronik, semikonduktor, peralihan tenaga, teknologi digital, agromakanan, produk halal serta pelancongan.


