
KUCHING – Sarawak tidak akan berganjak daripada agenda pembangunan strategiknya termasuk dalam bidang tenaga hidro, hidrogen dan sistem Transit Aliran Autonomi (ART), meskipun terdapat gesaan supaya beberapa projek berkenaan dihentikan.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg menegaskan, pembangunan berasaskan teknologi baharu perlu diteruskan bagi memastikan negeri itu mampu bersaing dalam ekonomi global.
“Terdapat pihak tertentu yang mempersoalkan hala tuju pembangunan Sarawak, termasuk pelaksanaan projek tenaga hidro dan ART yang menjadi sebahagian daripada usaha pemodenan negeri.
“Kemajuan teknologi, khususnya dalam penghasilan hidrogen melalui proses elektrolisis, membuka ruang kepada pendekatan baharu dalam pembangunan tenaga,” katanya lagi.
Perkembangan teknologi membran turut disentuh beliau sebagai antara kemajuan yang berkaitan dengan penghasilan hidrogen.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Konvensyen Khas Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Zon Selatan 2026 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), pada Ahad.
Beliau turut menekankan bahawa Sarawak perlu membangunkan keupayaan teknologi sendiri dan tidak hanya bergantung kepada inovasi yang dihasilkan oleh pihak luar.
“Langkah itu sangat penting untuk memperkukuh kedudukan negeri sebagai antara pusat pembangunan ekonomi dan teknologi di rantau Asia serta peringkat antarabangsa,” ujarnya.
Dalam pada itu, Abang Johari yang juga Yang di-Pertua PBB berkata, kestabilan politik merupakan antara asas penting bagi memastikan agenda pembangunan negeri dapat dilaksanakan secara berterusan.
Beliau turut mengaitkan pembangunan ekonomi dengan keperluan mewujudkan peluang pekerjaan kepada rakyat Sarawak tanpa mengira latar belakang kaum.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan meneruskan usaha pembangunan yang mampu meningkatkan keupayaan ekonomi negeri serta membuka peluang kepada generasi akan datang.



