
SERIAN – Dua projek pembangunan bernilai keseluruhan RM6.18 juta dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tarat bagi meningkatkan kemudahan bekalan air bersih serta memperkukuh potensi pelancongan masyarakat luar bandar.
Penyandang kerusi DUN Tarat, Datuk Seri Roland Sagah Wee Inn berkata, kedua-dua projek berkenaan dilaksanakan menerusi Agensi Penyelarasan Pembangunan Greater Kuching (GKCDA) bagi menangani keperluan infrastruktur penduduk dan merancakkan kegiatan ekonomi setempat.
Menurutnya, projek pertama melibatkan pembinaan stesen pam penggalak serta penyambungan paip bekalan air bernilai RM3.98 juta di kawasan Teng Bukap, Kampung Pesang, Kampung Subang, Kampung Begu dan Kampung Tatuk.
Beliau berkata, projek yang dilaksanakan Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB) itu bertujuan meningkatkan penyaluran bekalan air terawat kepada penduduk, khususnya di kawasan yang masih bergantung kepada sistem bekalan air graviti.
“Kita tidak boleh terus menunggu kerana bekalan air bersih merupakan keperluan asas penduduk,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyempurnakan Majlis Pecah Tanah Projek GKCDA di bawah DUN Tarat di Dewan Kampung Pesang, pada Isnin.
Dalam perkembangan berkaitan, Sagah berkata, projek kedua melibatkan kerja menaik taraf prasarana pelancongan di Pesang River Lodge dengan peruntukan RM2.2 juta.
Katanya, projek yang dilaksanakan Majlis Daerah Serian itu bertujuan menambah baik kemudahan pelancongan serta meningkatkan keselesaan pengunjung.
Antara komponen naik taraf yang dirancang ialah pintu masuk, pusat informasi pengunjung, gazebo dan bilik persalinan.
Beliau berkata, pembangunan sektor ekopelancongan turut diberikan perhatian bagi membuka peluang ekonomi serta meningkatkan pendapatan masyarakat luar bandar.
Menurutnya, pemilihan Pesang River Lodge sebagai lokasi projek mencerminkan potensi inisiatif pelancongan berasaskan komuniti yang telah diusahakan penduduk Kampung Pesang.
Pada masa sama, Sagah berharap pelaksanaan kedua-dua projek berkenaan dapat memberikan manfaat kepada masyarakat setempat melalui peningkatan kemudahan asas dan pembangunan sektor pelancongan.
Majlis tersebut turut dihadiri Pegawai Tadbir Khas GKCDA, Datuk Ik Pahon Joyik, Timbalan Residen Bahagian Serian, Abdul Khalid Manap dan Pegawai Daerah Siburan, Ranum Bari.
Turut hadir wakil JBALB Bahagian Kuching, Siet Ung Wu dan Setiausaha Politik kepada Premier Sarawak, Damien Rejek.



