
MELAKA TENGAH – Kerajaan MADANI perlu memastikan setiap dasar dan peruntukan pembangunan bukan sahaja memberi manfaat kepada sektor berteknologi tinggi dan bandar, sebaliknya turut menyentuh kehidupan rakyat di luar bandar, khususnya golongan petani dan pesawah.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berkata, pendekatan itu selari dengan tema Belanjawan yang dibentangkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim iaitu “Menggapai di Langit, Mengakar di Bumi”.
Menurut beliau, walaupun negara menyaksikan perkembangan pesat dalam sektor pelancongan, teknologi komunikasi dan pembangunan bandar, kepentingan rakyat di kampung tidak boleh diketepikan.
“Ya, kita tengok pelancongan hebat, orang naik kapal terbang ke sana ke sini, diceritakan AI ataupun teknologi komunikasi untung berbilion-bilion.
“Tetapi kami orang kampung dapat apa? Di sinilah dia (ekonomi) kena mengakar di bumi,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Himpunan Semarak Tani @ Jualan Agro MADANI Mega di Melaka Tengah, hari ini.
Mat Sabu berkata, keprihatinan kerajaan terhadap nasib rakyat dapat dilihat melalui pelbagai bentuk bantuan yang diteruskan dan ditambah baik, termasuk kepada golongan pesawah yang berdepan cabaran perubahan cuaca.
Beliau berkata, Perdana Menteri sentiasa mengambil berat mengenai masalah yang dihadapi golongan berkenaan dan meminta kementeriannya turun padang bagi meneliti sendiri keadaan mereka.
Katanya, beliau sendiri telah mengadakan lawatan ke Kedah dan Kota Bharu bagi menyampaikan bantuan kepada pesawah yang terjejas akibat banjir serta kemarau.
Menurutnya, perubahan corak cuaca menyebabkan bencana alam berlaku di luar kebiasaan, sekali gus memberi kesan besar kepada hasil pertanian, khususnya tanaman padi.
“Misalnya selalunya Kedah, dia mulai banjir akhir bulan 11. Hujan lebat. Tahun lepas, dia banjir bulan 10. Bulan 10, padi sedang masak,” katanya.
Beliau menjelaskan, tanaman padi yang ditenggelami air ketika hampir matang berisiko mengalami kerosakan teruk, malah hanya dua hari ditenggelami banjir boleh menyebabkan hasilnya tidak lagi sesuai untuk diproses menjadi beras.
Justeru katanya, kerajaan menyediakan mekanisme bantuan melalui Agrobank bagi membantu pesawah yang mengalami kerugian akibat bencana berkenaan.
Mat Sabu berkata, bantuan itu merupakan sebahagian daripada pendekatan Kerajaan MADANI yang berusaha menangani kesusahan rakyat melalui pelbagai kementerian dan agensi, termasuk bantuan Sumbangan Asas Rahmah (SARA) di bawah Kementerian Kewangan.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan memastikan bantuan kebajikan disalurkan secara adil tanpa dipengaruhi fahaman politik.
Katanya, pemimpin masyarakat termasuk penghulu perlu memainkan peranan sebagai penghubung antara rakyat dengan kerajaan tanpa membezakan latar belakang politik penerima.
“Sepatutnya bila dia diangkat jadi Tok Penghulu, dia tak kira, dia kena berkhidmat untuk semua,” katanya.
Beliau turut mengingatkan bahawa masih terdapat golongan yang layak menerima bantuan tetapi tidak berdaftar, termasuk warga emas yang dijaga ahli keluarga, orang kurang upaya (OKU), anak-anak autisme serta pelajar yang memerlukan sokongan pendidikan.
Menurutnya, pelbagai bantuan disediakan kerajaan ketika ini, namun keberkesanannya bergantung kepada usaha memastikan golongan sasaran mengetahui kelayakan dan membuat pendaftaran.
Mengulas mengenai kebajikan sosial, Mat Sabu berkata, pemberian bantuan perlu dilaksanakan secara seimbang supaya tidak menimbulkan kebergantungan berlebihan sehingga menjejaskan kecenderungan rakyat untuk bekerja.
Beliau mengambil contoh keadaan di United Kingdom yang menyaksikan sebahagian pekerjaan diisi golongan imigran apabila terdapat rakyat tempatan yang tidak lagi terdorong untuk bekerja berikutan bantuan yang diterima.
Bagaimanapun, beliau menegaskan kepentingan bantuan kerajaan dalam meringankan beban rakyat, terutama mereka yang berdepan kesusahan dan memerlukan sokongan.


