
KOTA MARUDU – Kerajaan MADANI komited mempergiat pembangunan di kawasan utara Sabah, khususnya Kota Marudu, Kudat dan Kota Belud bagi memastikan kemajuan serta kemudahan pembangunan dapat dinikmati secara seimbang, seiring dengan daerah lain.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah dan Sarawak), Datuk Ir. Ts. Mustapha Sakmud berkata, Kota Marudu mempunyai nilai sejarah, warisan dan potensi besar, namun masih berdepan cabaran pembangunan serta kadar kemiskinan yang membimbangkan.
“Keadaan ini memerlukan perhatian serius supaya kawasan yang pernah mempunyai kedudukan penting dalam sejarah Sabah dapat kembali berkembang dan menikmati kemajuan secara lebih menyeluruh.
“Kota Marudu khususnya mempunyai sejarah tersendiri termasuk kewujudan pemerintahan autonomi yang dikaitkan dengan keturunan Syarif-Syarif serta kubu pertahanan yang pernah menjadi sebahagian daripada kekuatan kawasan berkenaan,” katanya ketika berucap merasmikan Program Jelajah Aku Kasih Malaysia, di sini, pada Sabtu.
Menurutnya, usaha memperkasa pembangunan kawasan berkenaan perlu dilaksanakan secara menyeluruh dengan mengambil kira keperluan masyarakat setempat, khususnya dalam aspek kemudahan asas dan kesejahteraan hidup.
Katanya, masih terdapat beberapa isu utama yang memerlukan perhatian kerajaan, termasuk masalah banjir, bekalan air bersih, keadaan jalan raya serta kekurangan doktor pakar di hospital.
“Penyediaan peruntukan pembangunan yang besar perlu disusuli dengan pelaksanaan projek berkesan supaya manfaatnya benar-benar dapat dirasai rakyat.
“Kita tidak mahu rakyat hanya mendengar angka peruntukan berbilion ringgit, tetapi masalah banjir masih berlaku, bekalan air masih bergantung kepada sistem graviti, jalan raya masih berlubang dan hospital masih kekurangan doktor pakar.
“Ini perkara yang perlu kita uruskan sebaik mungkin demi kepentingan rakyat,” ujarnya.
Jelas Mustapha, Kerajaan MADANI sentiasa memastikan agenda pembangunan negara dilaksanakan secara inklusif tanpa meminggirkan mana-mana golongan, termasuk masyarakat di kawasan luar bandar dan pedalaman.
“Pembangunan tidak seharusnya hanya tertumpu di kawasan bandar, sebaliknya perlu diperluas bagi memastikan setiap lapisan masyarakat mendapat peluang menikmati kemudahan serta manfaat pembangunan negara.
“Setiap suara rakyat perlu diberikan perhatian kerana maklum balas berkenaan boleh dijadikan asas kepada tindakan serta perancangan pembangunan yang lebih berkesan.
“Pembangunan sesebuah kawasan juga memerlukan kerjasama semua pihak, termasuk agensi kerajaan, pemimpin masyarakat dan penduduk setempat bagi memastikan setiap inisiatif dapat dilaksanakan dengan berkesan,” tambahnya.
Dalam pada itu, mustapha berkata, semangat perpaduan dan kebersamaan dalam kalangan masyarakat berbilang kaum serta agama di Sabah turut menjadi kekuatan penting dalam menjayakan agenda pembangunan negara.
“Program Jelajah Aku Kasih Malaysia diharap dapat memperkukuh hubungan antara kerajaan dengan rakyat, selain membuka ruang kepada masyarakat Kota Marudu untuk mendapatkan maklumat berkaitan pelbagai inisiatif dan bantuan yang disediakan kerajaan.
“Usaha mengangkat semula pembangunan kawasan utara Sabah juga perlu diteruskan secara berperingkat supaya potensi dari aspek sejarah, ekonomi dan sosial kawasan ini dapat dimanfaatkan sepenuhnya demi kesejahteraan generasi akan datang,” jelasnya.



