
LIMBANG – Pemimpin agama perlu menjadi teladan yang baik kepada pengikut masing-masing dalam usaha memperkukuh perpaduan dan keharmonian masyarakat berbilang kaum serta agama, khususnya di Sarawak.
Timbalan Menteri Pengangkutan Datuk Hasbi Habibollah berkata, setiap agama mengajar penganutnya melakukan kebaikan dan mengamalkan nilai murni dalam kehidupan bermasyarakat.
Menurut beliau, kepelbagaian agama dan budaya yang menjadi keunikan Sarawak, khususnya di Limbang, perlu terus diraikan sebagai kekuatan dan bukannya dijadikan punca perpecahan.
“Ketua agama perlu menjadi teladan yang baik kepada anak buah. Semua agama mengajarkan perkara-perkara yang baik dan saya yakin tidak ada agama yang mengajar kejahatan.
“Kepelbagaian agama yang ada di Sarawak, khususnya di Limbang, perlu diraikan dan bukannya dijadikan punca perpecahan kerana perpecahan hanya akan merugikan masyarakat serta negara,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Program Pemimpin Bersama Rakyat yang berlangsung di Dewan Bunga Raya, Limbang.
Ahli Parlimen Limbang itu berkata, keharmonian yang dinikmati masyarakat Sarawak selama ini perlu terus dipelihara melalui sikap saling menghormati, bertolak ansur dan bekerjasama tanpa mengira latar belakang agama mahupun bangsa.
Katanya, pemimpin agama turut memainkan peranan penting dalam membimbing masyarakat agar tidak mudah terpengaruh dengan sentimen yang boleh mencetuskan salah faham dan menggugat perpaduan.
Dalam pada itu, beliau menegaskan bahawa kerajaan telah melaksanakan pelbagai dasar dan inisiatif yang menjurus kepada pengukuhan perpaduan nasional serta meraikan kepelbagaian agama dan bangsa.
“Kerajaan pada masa ini sudah melaksanakan pelbagai dasar yang menjurus kepada perpaduan dalam kepelbagaian agama dan bangsa. Tinggal kita sendiri untuk memastikan segala usaha ini berjaya,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menyeru seluruh masyarakat agar terus berganding bahu memastikan Limbang kekal sebagai daerah yang aman, harmoni dan bersatu padu.
Sementara itu, sebanyak 89 buah gereja menerima geran tahunan pada majlis berkenaan bagi menyokong keperluan institusi keagamaan serta aktiviti komuniti setempat.
Hasbi berharap bantuan tersebut dapat dimanfaatkan sebaik mungkin, selain memperkukuh peranan institusi agama dalam memupuk nilai kebersamaan dan kesejahteraan masyarakat.



