
DARO – Kawasan perumahan Pusat Pertumbuhan Luar Bandar (RGC) di Pulau Bruit dicadangkan agar dibangunkan berteraskan konsep ‘perumahan dalam dusun’ sebagai daya tarikan baharu kepada pengunjung luar sekali gus merancakkan ekonomi penduduk setempat.
Timbalan Menteri di Jabatan Premier Sarawak (Hal Ehwal Korporat, Penerangan dan UKAS), Datuk Abdullah Saidol berkata, konsep berkenaan boleh direalisasikan melalui penanaman pelbagai jenis pokok buah-buahan, sayur-sayuran, dan tanaman kontan di ruang tanah lapang atau bahagian belakang kediaman penduduk.
Menurut beliau, inisiatif itu bukan sahaja berupaya mencantikkan landskap persekitaran perumahan RGC, malah mewujudkan punca pendapatan tambahan berasaskan hasil pertanian segar dan aktiviti agropelancongan.
“Selain mencantikkan persekitaran perumahan, konsep berkenaan berpotensi membuka peluang ekonomi kepada penduduk menerusi hasil tanaman serta tarikan pelancongan berasaskan pertanian,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Pulau Bruit 2026 pada Sabtu.
Majlis itu telah dirasmikan oleh Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah di Tapak Utama Pesta, di sini.
Tambah beliau, perancangan memajukan perumahan RGC berkonsepkan dusun itu dilihat tepat pada masanya memandangkan Pulau Bruit kini berpotensi besar diangkat sebagai destinasi pelancongan baharu di Sarawak susulan kemudahan akses perhubungan yang bertambah baik.
Abdullah berkata, Pulau Bruit kini mencatat keistimewaan tersendiri apabila menjadi pulau ketiga di Malaysia yang dihubungkan melalui dua jambatan merentasi sungai selepas Pulau Carey dan Pulau Indah di Selangor.
“Keistimewaan ini boleh dijadikan identiti tersendiri dalam usaha mempromosikan Pulau Bruit sebagai destinasi yang mampu menarik lebih ramai pengunjung,” ujarnya.



