Gambar hiasan
KUALA LUMPUR – Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) memulakan operasi percubaan hari ini sebagai fasa terakhir sebelum perkhidmatan penumpang komersial bermula pada 12 Disember 2026.
Menurut laporan Bernama, operasi percubaan dari 7 November hingga 2 Disember ini membabitkan perjalanan Gombak ke Kota Bharu dan sebaliknya, dengan perkhidmatan ekspres dan transit.
Ia dikendalikan ECRL Operation Sdn Bhd, syarikat usaha sama 50:50 antara Malaysia Rail Link Sdn Bhd dan China Communications Construction Sdn Bhd.
Sepanjang tempoh percubaan, tren akan beroperasi mengikut jadual komersial sebenar, termasuk semakan pas dan perkhidmatan kru kabin, bagi menilai kesediaan operasi, pengurusan stesen dan pengalaman penumpang.
Perjalanan pertama hari ini berlepas dari Terminal Bersepadu Gombak pada jam 7 pagi dan tiba di stesen KotaSAS, Kuantan pada jam 8.28 pagi.
Perjalanan itu mengambil masa 88 minit dengan membawa 170 penumpang, dan mencapai kelajuan sehingga 160 kilometer sejam.
Setakat Oktober 2026, pembinaan Fasa 1 ECRL yang merangkumi jajaran Kota Bharu-Gombak sudah 98.47 peratus siap.



