SHAH ALAM – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim meminta Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar supaya segera menghadap Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim bagi menjelaskan isu pengampunan bersyarat bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak.
Anwar berkata, sesi menghadap itu bertujuan memohon ampun serta menjelaskan kekangan undang-undang yang timbul apabila titah berkenaan turut membabitkan kes kedua Najib berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Saya sudah minta Peguam Negara segera menghadap Yang di-Pertuan Agong untuk memohon ampun dan menjelaskan mengapa keputusan itu diterima untuk kes SRC, tetapi timbul masalah apabila ia turut membabitkan kes kedua, iaitu kes 1MDB,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas merasmikan Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan 2026 di sini, hari ini.
Anwar berkata, tarikh menghadap belum ditetapkan, namun Peguam Negara sudah dimaklumkan mengenai perkara itu.
Beliau menjelaskan, urusan berkenaan kini diserahkan kepada Peguam Negara dan badan kehakiman untuk memperincikan kedudukan undang-undang, kerana ia bukan bidang kuasa Perdana Menteri.
“Persoalan yang berbangkit sekarang ialah kes kedua (1MDB), sama ada ia boleh dilaksanakan atau tidak. Kes itu akan dimuktamadkan oleh Peguam Negara dan badan kehakiman,” katanya.
Anwar turut menegaskan kuasa Yang di-Pertuan Agong tidak pernah dipertikaikan dalam isu berkenaan dan berharap ia tidak dijadikan polemik politik.
Terdahulu, Istana Negara menegaskan sebarang hujah mempertikaikan perintah pengampunan bersyarat terhadap Najib menjurus kepada tindakan mengingkari perintah Yang di-Pertuan Agong.
Menurut titah itu, semua syarat dalam perintah berkenaan sudah dipenuhi dan ia jelas, nyata serta tidak mempunyai kaitan dengan mana-mana kes lain yang dihadapi Najib.
Sementara itu, Jabatan Peguam Negara (AGC) menegaskan ia tidak pernah mempertikai, mengetepi atau berhasrat menggantung Perintah Pengampunan Bersyarat yang diperkenan Yang di-Pertuan Agong kepada Najib.



