
KUALA LUMPUR – Prestasi cemerlang dan jasa Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Shuhaily Zain, tidak mengecualikannya daripada tindakan undang-undang jika terdapat dakwaan terhadap beliau.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, beliau secara peribadi bersimpati dengan Shuhaily, namun sebarang dakwaan, sama ada daripada orang awam mahupun anggota polis, perlu disiasat mengikut prosedur ditetapkan.
Menurutnya, beliau dan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, tidak campur tangan dalam perkara itu kerana keputusan pendakwaan terletak di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
“Kami membawanya kembali kerana prestasinya yang cemerlang. Saya masih ingat membawa beliau dari Pulau Pinang ke Kuala Lumpur sebelum beliau dinaikkan pangkat.
“Secara peribadi, saya bersimpati dengannya. Namun, apabila terdapat dakwaan, sama ada daripada orang awam atau polis, ia mesti disiasat,” katanya ketika Waktu Pertanyaan Perdana Menteri pada Selasa.
Beliau menjawab soalan Datuk Seri Shahidan Kassim (PN-Arau) yang mempersoalkan keputusan kerajaan mengembalikan Shuhaily ke pasukan polis, selain berpandangan pegawai itu sepatutnya dibenarkan terus mengetuai AKPS.
Shahidan turut memuji prestasi Shuhaily dan mempersoalkan tindakan terhadap pegawai yang disifatkannya sebagai antara yang terbaik di negara ini.
Anwar turut menolak dakwaan bahawa pertuduhan terhadap Shuhaily bermotifkan politik, sambil menegaskan kerajaan tidak mempunyai alasan untuk mengambil tindakan terhadap pegawai yang pernah dibantu untuk memulihkan kerjayanya.

Shuhaily didakwa di Mahkamah Majistret Sepang pada 21 Oktober lalu atas dua pertuduhan menyebabkan kecederaan terhadap dua anggota polis di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada 28 September lalu. Beliau mengaku tidak bersalah terhadap kedua-dua pertuduhan itu.
Pada 29 Oktober lalu, Saifuddin mengumumkan bahawa Shuhaily akan dikembalikan ke pasukan polis.
Bagaimanapun, Shuhaily kembali menjalankan tugas di AKPS semalam dengan mempengerusikan mesyuarat bersama pegawai kanan agensi berkenaan.
Ketua Polis Negara, Datuk Seri Khalid Ismail sebelum ini berkata, pelantikan Shuhaily hanya boleh ditamatkan lebih awal dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong.
Beliau turut memaklumkan bahawa nasihat undang-undang sedang diperoleh sebelum proses pengembalian pegawai itu ke pasukan polis dapat dimuktamadkan.



