
KUALA LUMPUR – Kekuatan Malaysia dalam sektor digital dan pusat data, selain pendirian negara berhubung isu Palestin, dikenal pasti antara faktor berpotensi menjadikan negara ini sasaran serangan siber.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, perkara itu berdasarkan maklumat risikan yang diterima kerajaan, namun tidak semua butiran ancaman berkenaan boleh didedahkan kepada umum.
“Malaysia tentunya antara yang dianggap menjadi sasaran. Ada dua perkara. Pertama, kerana kekuatan kita dalam soal digital dan pusat data, (kita) antara terkuat, kalau dalam angka terakhir kekuatan kita itu boleh menyaingi Eropah.
“Kedua, kerana pendirian kita dalam beberapa isu yang dianggap kontroversi oleh sesetengah negara terutama Eropah dan Amerika (Syarikat), khususnya soal Palestin dan Gaza,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab celahan Datuk Seri Dr Ronald Kiandee (PN-Beluran) mengenai kemungkinan Malaysia menjadi sasaran serangan berdasarkan maklumat risikan kerajaan.
Anwar berkata, kerajaan memandang serius perkembangan ancaman keselamatan antarabangsa susulan maklumat terkini yang diterima daripada agensi berkaitan, termasuk Kementerian Dalam Negeri.
Katanya, satu mesyuarat khas Majlis Keselamatan Negara (MKN) telah diadakan pada Isnin bagi meneliti implikasi serangan hibrid, digital dan siber serta ancaman keselamatan yang berlaku di beberapa negara.
Dalam pada itu, beliau mendedahkan kegiatan beberapa badan risikan asing, termasuk Israel, yang beroperasi di negara jiran serta kewujudan penempatan warga Israel di Phuket dan selatan Thailand turut dikenal pasti badan risikan Malaysia sebagai potensi ancaman kepada negara.
Anwar turut menarik perhatian terhadap langkah beberapa negara seperti Kesatuan Eropah, Kanada dan Jepun yang mengeluarkan arahan serta nasihat kepada rakyat masing-masing supaya menyediakan stok bekalan makanan untuk tempoh antara tiga hingga 10 hari.
“Jangan kita fikir ancaman ini jauh daripada kita kerana apa yang berlaku di Eropah, Amerika dan Jepun itu memang menggemparkan negara masing-masing,” katanya.
Sehubungan itu, kerajaan mengambil langkah memperkukuh penyelarasan antara kementerian dan agensi, meningkatkan kesiapsiagaan keselamatan serta melindungi infrastruktur dan sektor strategik negara.
Kerajaan juga memberi penekanan kepada kesiapsiagaan rakyat dan masyarakat, selain mempertingkat keupayaan agensi serta penggunaan teknologi bagi menghadapi ancaman termasuk serangan siber.
Anwar berkata, beliau turut meminta Ketua Pengarah MKN mengadakan taklimat khas secara tertutup kepada semua Ahli Parlimen dalam tempoh satu atau dua hari ini, tertakluk kepada persetujuan kedua-dua pihak.
“Saya percaya perkara ini sangat penting kerana daripada maklumat yang diperoleh petang semalam dan juga pagi tadi daripada Menteri Dalam Negeri, hal ini jangan kita pandang ringan.
“Jadi saya mohon kerjasama semua di Parlimen (sama ada wakil rakyat) kerajaan dan pembangkang memberikan ruang kepada MKN (memberi taklimat) dalam tempoh satu dua hari (lagi) untuk mendengar sendiri perkembangan mutakhir,” katanya.


