LAHAD DATU – Polis akan menutup dan mengalihkan sementara beberapa laluan utama di daerah ini pada Rabu, sempena pelaksanaan Latih Amal Bencana Tsunami (TTX dan FTX) Zon Lahad Datu.
Latihan berkenaan melibatkan beberapa lokasi termasuk Kampung Telisai, Tungku, My Inn Hotel dan Teluk Darvel.
Ketua Polis Daerah Lahad Datu, Asisten Komisioner Dzulbaharin Ismail berkata, penutupan jalan itu berlangsung pukul 9 pagi hingga 2 petang, melibatkan Jalan Lahad Datu-Tawau bagi kedua-dua arah, bermula dari lampu isyarat Kem Askar hingga lampu isyarat SMC Lahad Datu.
“Pengguna jalan raya dari pusat bandar yang ingin menuju ke Jalan Lahad Datu-Tawau dinasihatkan menggunakan laluan alternatif melalui Jalan Lahad Datu-Sandakan dari lampu isyarat Lapangan Terbang menuju ke Jalan Assam atau Jalan Lahad Datu Bypass.
“Selain itu, penutupan turut membabitkan Lorong Perdana 5, Lorong Perdana 6 dan Lorong Perdana 7 di sekitar Bandar Sri Perdana, iaitu laluan menuju ke My Inn Hotel,” katanya dalam kenyataan media, pada Selasa.
Sehubungan itu, beliau menasihatkan orang ramai agar merancang perjalanan lebih awal serta mematuhi arahan anggota polis bertugas bagi mengelakkan kesesakan dan memastikan kelancaran trafik sepanjang latihan berlangsung.
“Orang ramai turut diingatkan supaya sentiasa mematuhi undang-undang dan tidak melakukan sebarang perbuatan yang boleh mengganggu kelancaran pelaksanaan latihan berkenaan,” jelasnya.


