
KUALA LUMPUR – Kerajaan berjaya mengurangkan kerugian negara daripada RM8 bilion kepada RM3 bilion menerusi perjanjian penyaluran semula pinjaman RM5 bilion bersama Export-Import Bank of China (CEXIM).
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, pengurangan kerugian itu dicapai hasil rundingan semula projek Multi-Product Pipeline (MPP) dan Trans-Sabah Gas Pipeline (TSGP) yang tidak disiapkan.
Menurutnya, perjanjian berkenaan dimeterai pada 30 Oktober lalu antara Suria Strategic Energy Resources Sdn Bhd (SSER) dan CEXIM, sekali gus membolehkan nilai pinjaman RM5 bilion digunakan untuk membiayai Skim Bekalan Air Perak Utara-Pulau Pinang (NPWSS).
“Kerugian negara dapat dikurangkan kepada RM3 bilion kerana kita mendapat balik nilai RM5 bilion dalam bentuk pembiayaan projek pembangunan baharu NPWSS.
“Kerugian RM3 bilion berbangkit daripada pampasan kepada kontraktor, antara lain bagi kerja awalan dan kos yang ditanggung,” katanya ketika sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau menjawab soalan Datuk Jonathan Yasin (GRS-Ranau) yang meminta penjelasan mengenai langkah kerajaan mendapatkan semula wang yang telah dibayar bagi projek TSGP dan MPP.
Kedua-dua projek itu dilaporkan menerima bayaran sebanyak 88 peratus atau RM8.3 bilion, meskipun kemajuan kerja hanya mencapai 13 peratus.

Mengulas pelaksanaan NPWSS, Anwar berkata, projek berkenaan akan diusahakan bersama syarikat dari China, manakala kerja pembinaannya dilaksanakan melalui proses tender terbuka yang turut memberi peluang kepada kontraktor tempatan.
“Sebab itu saya merakamkan penghargaan atas kerjasama negara China dan CEXIM kerana walaupun perjanjian itu tidak memihak kepada kita, pihak mereka sudah menerima rayuan dan kerajaan dapat pulangan RM5 bilion daripada kerugian besar,” katanya.
Dalam perkembangan berkaitan, Anwar berkata, Kerajaan Persekutuan memutuskan supaya pembangunan infrastruktur gas di Sabah diteruskan melalui pendekatan lain selepas pihak China tidak meneruskan projek paip gas berkenaan.
Katanya, kerajaan akan menyediakan dana mencukupi bagi memenuhi keperluan pembangunan Sabah secara menyeluruh, termasuk bekalan elektrik dan rangkaian paip.
“Ini termasuk bekalan elektrik, grid paip yang saya akan sebut kemudian nanti, tetapi mencecah juga hampir RM5 bilion keseluruhannya,” katanya.


