
KOTA SAMARAHAN – Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS) menawarkan pembiayaan penuh yuran pengajian kepada penerima anugerah utama Majlis Konvokesyen Ke-30 yang ingin melanjutkan pengajian di universiti berkenaan.
Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Ahmad Hata Rasit berkata, tawaran tersebut merupakan penghargaan terhadap kecemerlangan akademik graduan, selain usaha universiti menyokong pembangunan bakat dan kepakaran mereka.

Menurut beliau, pembiayaan itu melibatkan penerima Anugerah Pelajaran Diraja, Anugerah Canselor dan satu lagi anugerah utama universiti, dengan tajaan terhad kepada yuran pengajian sahaja.
“Tawaran istimewa ini meliputi yuran pengajian sahaja sebagai tanda penghargaan UNIMAS terhadap kecemerlangan akademik serta komitmen universiti untuk terus menyokong pembangunan bakat dan potensi graduan cemerlang,” jelas beliau lagi.
Teks tersebut disediakan sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 yang berlangsung dari 2 hingga 5 November di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA).
Ahmad Hata turut menekankan kepentingan memastikan kecemerlangan akademik graduan diteruskan melalui pengajian, penyelidikan dan pembangunan kepakaran.
Menurutnya, universiti tidak hanya mahu melahirkan graduan yang mampu memperoleh pekerjaan, malah individu yang berdaya saing serta berupaya mencipta peluang pekerjaan.
Beliau berkata, kadar kebolehpasaran graduan UNIMAS mencapai 91.9 peratus.
Majlis Konvokesyen UNIMAS Ke-30 meraikan seramai 4,428 graduan menerusi lapan sidang melibatkan 10 fakulti.
Daripada jumlah tersebut, 173 merupakan graduan ijazah kedoktoran, 492 sarjana dan 33 diploma pascasiswazah.
Turut hadir Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan Timbalan Premier Sarawak Datuk Amar Dr Sim Kui Hian.

