
KOTA KINABALU – Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor menerima kunjungan hormat Menteri Komunikasi, Datuk Seri Fahmi Fadzil, di Menara Kinabalu, di sini, pada Selasa.
Dalam kunjungan itu, Hajiji diberi taklimat mengenai perkembangan terkini pelaksanaan Fasa Kedua Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA 2) yang memberi tumpuan kepada peluasan infrastruktur dan capaian komunikasi digital di Sabah.
JENDELA 2 dijangka memberi manfaat kepada penduduk luar bandar dan pedalaman yang masih berdepan cabaran mendapatkan perkhidmatan internet berkualiti berikutan faktor geografi serta taburan penduduk.
Menteri Komunikasi sebelum ini memaklumkan bahawa JENDELA 2 merangkumi 3,000 lokasi di seluruh negara, dengan kira-kira 2,000 lokasi di kawasan pedalaman Sabah dan Sarawak menjadi tumpuan Fasa Kedua.
Kunjungan itu disertai Pengerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC), Tan Sri Mohamad Salim Fateh Din; Anggota Suruhanjaya MCMC, Jeneral (B) Tan Sri Datuk Sri Zulkifeli Mohd Zin; Menteri Pendidikan, Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk James Ratib serta beberapa pegawai kanan kerajaan negeri.
Foto : Jabatan Ketua Menteri Sabah



