
CYBERJAYA – Kutipan cukai langsung kasar negara bagi tempoh 10 bulan pertama 2026 meningkat 5.8 peratus kepada RM174.48 bilion berbanding RM164.92 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, peningkatan itu antara lain didorong usaha memperkukuh pematuhan cukai dan meningkatkan kecekapan pentadbiran percukaian menerusi pelaksanaan sistem e-Invois.
Menurutnya, penggunaan teknologi, analisis data dan automasi memainkan peranan penting dalam memperkukuh sistem percukaian negara serta memastikan kutipan hasil lebih berkesan.
“Pelaksanaan e-Invois merupakan antara ikhtiar untuk memperkukuh pematuhan dan menambah baik kecekapan pentadbiran percukaian,” katanya.
Teks ucapan beliau dibacakan oleh Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan, sempena Sambutan Hari Inovasi dan Integriti HASiL 2026 di Menara HASiL, di sini, hari ini.
Turut hadir Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar dan Ketua Pegawai Eksekutif HASiL, Datuk Dr Abu Tariq Jamaluddin.
Anwar berkata, sehingga 2 November lalu, sebanyak 2.14 bilion e-Invois dikemukakan oleh kira-kira 269,900 pembayar cukai.
Selain itu, penggunaan data e-Invois dalam usaha meningkatkan pematuhan turut mendorong lebih 97,000 pembayar cukai tampil mengemukakan borang nyata bagi tahun-tahun terdahulu secara sukarela.
“Cukai kena dibayar berjumlah RM1.68 bilion,” katanya.

Bagaimanapun, Anwar yang juga Menteri Kewangan menegaskan pelaksanaan e-Invois bukan bertujuan memperkenalkan cukai baharu atau menambah beban percukaian rakyat.
Sebaliknya, sistem itu menjadi instrumen penting untuk memastikan keadilan dalam sistem percukaian, mengesan ketidakpatuhan dan memastikan semua pihak melaksanakan tanggungjawab masing-masing.
Beliau turut mengingatkan warga HASiL supaya mengambil tindakan tegas terhadap pengelakan cukai yang disengajakan, namun pada masa sama mengamalkan budi bicara mengikut undang-undang terhadap pembayar cukai yang memerlukan bantuan dan bimbingan.
Sebelum ini, Lembaga Hasil Dalam Negeri Malaysia (LHDN) melaporkan kutipan hasil cukai Kerajaan Persekutuan meningkat sembilan peratus kepada RM129.6 bilion bagi tempoh sehingga Jun 2026, berbanding RM119.1 bilion dalam tempoh sama tahun lalu.
Timbalan Menteri Kewangan, Liew Chin Tong dilaporkan berkata, peningkatan itu antara lain disumbangkan oleh kutipan cukai pendapatan syarikat yang lebih tinggi.



