Mohamed Salah
BINTANG bola sepak Mesir, Mohamed Salah dilaporkan berpeluang memperoleh kerakyatan Turkiye bersama isteri dan tiga anaknya susulan sumbangan besar kepada kelab Trabzonspor.
Dakwaan berkenaan didedahkan wartawan Mohamed Al-Qaoud, yang juga koresponden BBC, menerusi hantaran dalam akaun Facebook rasminya.
Al-Qaoud mendakwa beberapa persiapan sedang dilakukan bagi memberikan kewarganegaraan Turkiye kepada penyerang berkenaan.
“Saya mendapat maklumat bahawa Mohamed Salah akan menerima kerakyatan Turkiye bersama isteri dan tiga anaknya.
“Salah juga akan dianugerahkan pingat negara atas khidmat cemerlang dalam satu majlis besar-besaran, selain menerima pengiktirafan tertinggi susulan sumbangannya terhadap perubahan besar dalam sektor sukan dan pelancongan dalam tempoh singkat,” katanya.
Bagaimanapun, setakat ini tiada pengesahan rasmi dikeluarkan berhubung dakwaan berkenaan.
Laporan itu muncul ketika Salah meneruskan kempen bersama Trabzonspor selepas membantu kelab itu menewaskan Gaziantep 2-0 dalam aksi pusingan ke-10 Liga Turkiye, Ahad lalu.
Kemenangan itu mengukuhkan kedudukan Trabzonspor dalam kelompok pasukan teratas liga apabila mengumpul 22 mata untuk berada di tangga ketiga, selain terus memburu pendahulu, Galatasaray yang memiliki kelebihan tiga mata.
Sumbangan Salah yang dikaitkan dengan perkembangan sektor sukan dan pelancongan Turkiye turut menjadi perhatian, selain prestasinya di atas padang.
Sekiranya cadangan itu disahkan secara rasmi, Salah bakal menerima kerakyatan Turkiye bersama keluarganya, selain dianugerahkan pingat kebesaran negara dalam satu majlis khas.


