KLEBANG – Hampir setahun permohonan lesen tidak diluluskan, tetapi apabila nelayan turun ke laut mencari rezeki, tindakan penguatkuasaan pantas pula dikenakan sehingga sampan dan peralatan menangkap ikan disita.
Lebih mengecewakan, terdapat nelayan bukan sahaja dikenakan denda RM2,500, malah terpaksa menanggung kehilangan aset bernilai lebih RM25,000 yang menjadi satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara keluarga.
Pemimpin Sahabat Nelayan, Musa Arib, 66, menyifatkan tindakan itu sebagai tidak adil kerana penangkap hasil laut itu seolah-olah dihukum atas kelewatan proses pentadbiran yang bukan berpunca daripada kesalahan mereka.
“Dia ada sampan, ada enjin, tetapi tidak boleh pergi ke laut kerana jabatan tidak keluarkan lesen. Apabila dia turun juga untuk mencari rezeki, dia ditangkap dan didenda RM2,500.
“Yang lebih memuncakkan kemarahan saya, sampan dan segala peralatan menangkap ikan turut disita. Kenapa perlu sampai begitu sekali sehingga keseluruhan mata pencariannya ditutup?” katanya kepada The Malaysia Press (TMP), pada Selasa.
Musa berkata, tindakan oleh agensi berkaitan wajar dipersoalkan sama ada agensi berkaitan tidak mempunyai ruang budi bicara untuk menilai latar belakang kes sebelum mengenakan hukuman yang boleh melumpuhkan seluruh kehidupan sebuah keluarga.
Menurut beliau, rayuan persatuan supaya sampan berkenaan dikembalikan juga tidak membuahkan hasil apabila pihak jabatan hanya memberikan alasan bahawa tindakan itu dibuat mengikut undang-undang.

“Menilai balik tangkapan ini adalah satu pembunuhan saya anggap. Apa akan jadi pada anak-anak dia? Apa akan jadi pada keluarga dia? Siapa yang akan menampung bila dia tak ada kelengkapan untuk pergi ke laut?
“Undang-undang menetapkan begitu, tetapi mana pertimbangan kemanusiaan? Nelayan ini bukan ada pekerjaan lain. Kalau sampan disita, bagaimana dia hendak mencari pendapatan untuk anak dan isterinya?
“Kalau dia ada kepakaran menangkap ikan, tidak boleh kita suruh dia berhenti menjadi nelayan dan tiba-tiba bekerja dalam bidang lain. Itu sumber kehidupannya,” katanya.
Dalam pada itu, Musa berkata, rayuan persatuan supaya sampan berkenaan dikembalikan juga tidak membuahkan hasil apabila pihak jabatan hanya memberikan alasan bahawa tindakan itu dibuat mengikut undang-undang.
Beliau menyeru agar Kerajaan Negeri Melaka, mengkaji semula peraturan pengeluaran lesen dan penguatkuasaan supaya nelayan yang masih menunggu kelulusan tidak terus menjadi mangsa kelemahan birokrasi.
“Jabatan berkaitan sepatutnya menyediakan lesen sementara kepada pemohon yang memenuhi syarat sementara menunggu kelulusan lesen penuh, bukannya membiarkan mereka hilang sumber pendapatan.
“Kerajaan negeri perlu melihat semula nasib golongan itu dan tidak sekadar melaungkan slogan ‘Melaka Sayang Rakyat’ sedangkan masalah asas yang menjejaskan periuk nasi nelayan masih gagal diselesaikan.
Cop dekat baju, bagi beribu-ribu orang, beratus-ratus ribu orang pakai, sebenarnya itu hanya hanya propaganda. Propaganda untuk melarikan pandangan rakyat yang konon selesa.
“Mana sayangnya kalau macam ni Penganiayaan yang berlaku! Kita tak tuntut apa-apa daripada kerajaan, tapi janganlah gunakan kuasa yang ada tu seolah-olah menganiaya err warga nelayan serta petani,” katanya.


