
KOTA SAMARAHAN – Sarawak merancang menambah 40 tempat pengajian perubatan khusus untuk anak negeri di Universiti Malaysia Sarawak (UNIMAS), menjadikan jumlah keseluruhan 80 tempat berbanding 40 ketika ini.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg berkata, cadangan penambahan itu telah dibincangkan bersama pihak UNIMAS dengan pembiayaan pengajian dirancang melalui Yayasan Sarawak.
Menurutnya, langkah berkenaan merupakan sebahagian daripada usaha kerajaan negeri melahirkan lebih ramai doktor dan pakar perubatan tempatan bagi memenuhi keperluan perkhidmatan kesihatan di Sarawak.
“Kita bukan sekadar mahu menambah bilangan graduan perubatan, tetapi memastikan Sarawak mempunyai tenaga doktor dan pakar yang mencukupi, berkualiti serta bersedia memberikan perkhidmatan kepada rakyat di seluruh wilayah ini,” jelasnya.
Beliau berkata demikian menerusi teks ucapan sempena Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30, Sidang Ketiga, di Arena Gemilang, Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR PUTRA), pada Selasa.
Abang Johari berkata, Sarawak masih berdepan cabaran kekurangan tenaga perubatan, khususnya dalam memastikan perkhidmatan kesihatan dapat disediakan secara menyeluruh kepada masyarakat di bandar, luar bandar dan pedalaman.
Sehubungan itu, beliau menekankan kepentingan melahirkan lebih ramai tenaga profesional kesihatan yang memahami keperluan dan keadaan masyarakat tempatan.
Menurutnya, kerajaan Sarawak melalui Yayasan Sarawak telah melaksanakan Biasiswa Khas Program Perubatan UNIMAS sejak 2017 yang setakat ini menghasilkan 200 graduan perubatan anak Sarawak dengan tajaan penuh kerajaan negeri.
Beliau menjelaskan, penerima biasiswa yang berjaya menamatkan pengajian tertakluk kepada ikatan perkhidmatan selama 10 tahun di Sarawak mengikut syarat perjanjian.
Katanya, pendekatan itu bertujuan memastikan pelaburan kerajaan negeri dalam pendidikan perubatan memberikan manfaat jangka panjang, khususnya kepada masyarakat luar bandar dan pedalaman.
Dalam perkembangan berkaitan, seramai 41 pelajar perubatan tajaan Yayasan Sarawak merupakan antara graduan yang menerima ijazah pada Majlis Konvokesyen UNIMAS Kali Ke-30.
Abang Johari berharap kejayaan graduan berkenaan dapat menggalakkan lebih ramai anak Sarawak menceburi bidang perubatan bagi memenuhi keperluan tenaga profesional kesihatan tempatan.
Terdahulu, cadangan meningkatkan tempat pengajian perubatan di UNIMAS daripada 40 kepada 80 telah diumumkan Abang Johari pada 30 Oktober lalu, dengan pengambilan tambahan dirancang menerusi aturan khas antara kerajaan negeri dan universiti berkenaan.



