KOTA KINABALU – Pendekatan penjagaan warga emas di Sabah perlu disesuaikan mengikut tahap kesihatan dan keupayaan fizikal individu bagi memastikan setiap golongan itu menerima sokongan bersesuaian dengan keperluan masing-masing.
Menteri Wanita, Kesihatan dan Kesejahteraan Rakyat Sabah, Datuk Julita Majungki berkata, penjagaan warga emas tidak seharusnya diseragamkan berdasarkan faktor usia semata-mata kerana setiap individu mempunyai tahap kesihatan dan keupayaan berbeza.
“Terdapat warga emas yang masih sihat dan mampu menjalani kehidupan secara berdikari, manakala sebahagian lagi memerlukan bantuan untuk menguruskan kehidupan harian.
“Matlamat penjagaan bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan kesihatan, tetapi turut memastikan warga emas dapat mengekalkan keupayaan diri, kebebasan serta maruah mereka.
“Penjagaan perlu disesuaikan dengan keadaan setiap individu. Matlamatnya bukan sekadar memenuhi keperluan rawatan, tetapi juga membantu warga emas mengekalkan keupayaan, kebebasan dan maruah mereka,” katanya dalam satu kenyataan media, di sini, pada Isnin.
Menurut Julita, pendekatan berkenaan selaras dengan konsep Penuaan Sihat (Healthy Ageing) yang diperkenalkan Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO).
“Konsep ini turut menjadi asas kepada Pelan Tindakan Perkhidmatan Kesihatan Warga Emas 2023-2030 oleh Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).
“Pelan berkenaan merangkumi pelbagai bentuk perkhidmatan termasuk saringan dan penilaian kesihatan, pemeriksaan perubatan, rawatan, kaunseling, rujukan, perawatan di rumah serta pemulihan.
“Dalam pada itu, warga emas yang memerlukan bantuan tidak seharusnya dinafikan hak untuk menyuarakan pandangan dan membuat keputusan berkaitan penjagaan diri mereka,”ujarnya.
Tambahnya, pilihan serta maruah warga emas perlu dihormati, termasuk bagi mereka yang bergantung kepada bantuan orang lain dalam menjalani kehidupan seharian.
“Kita perlu menghormati pilihan dan maruah setiap warga emas. Keperluan mendapatkan bantuan tidak bermakna hak mereka untuk menyuarakan pandangan tentang penjagaan diri sendiri harus diketepikan.
“saya berharap pendekatan penjagaan berasaskan keperluan individu dapat terus diperkukuh bagi memastikan kebajikan, kesihatan dan kesejahteraan warga emas sentiasa terpelihara,” jelasnya.



