MELAKA TENGAH – Setiausaha Politik Perdana Menteri, Datuk Azman Abidin berdepan saingan tiga penjuru bagi merebut kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Azman yang mewakili Pakatan Harapan (PH), bakal dicabar Rafie Ahmad daripada Perikatan Nasional (PN) dan Abdul Rashid Abu Bakar daripada Parti Bersama Malaysia (Bersama).
Pegawai Pengurus Pilihan Raya DUN Paya Rumput Safuan Effendy Mat Ghani mengumumkan senarai calon berkenaan di Pusat Penamaan calon DUN Paya Rumput di Ballroom Stadium Hang Jebat, selepas proses penamaan calon ditutup pada 10 pagi tadi.
Penyertaan Azman sebagai calon PH bagi DUN Paya Rumput pada PRN Melaka kali ini merupakan penampilan sulung beliau dalam pilihan raya.
Terdahulu, Azman menjadi calon pertama menyerahkan borang pencalonan pada 9.01 pagi, disusuli Rafie pada 9.05 pagi dan seterusnya Abdul Rashid Abu Bakar pada 9.07 pagi.
Kerusi DUN Paya Rumput sebelum ini disandang Datuk Rais Yasin daripada Barisan Nasional (PN) namun beliau tidak mempertahankan kerusi berkenaan pada PRN kali ini selepas dipilih bertanding di DUN Sungai Udang.
Suruhanjaya Pilihan Raya menetapkan 14 Nov sebagai hari pengundian PRN Melaka, manakala pengundian awal pada 10 Nov.
Sebanyak 687,697 pengundi layak menjalankan tanggungjawab pada pilihan raya kali ini, terdiri daripada 675,166 pengundi biasa, 9,769 anggota tentera bersama pasangan dan 2,762 anggota polis.

