MELAKA TENGAH – Pengalaman berkhidmat bersama Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi taruhan calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin, untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik dan membantu memenuhi keperluan penduduk di kawasan itu.
Azman berkata, kedudukannya yang mempunyai hubungan rapat dengan Kerajaan Persekutuan boleh dimanfaatkan bagi membantu memudahkan pelbagai keperluan penduduk, khususnya dalam aspek pembangunan dan penyampaian perkhidmatan.
Beliau yang juga Setiausaha Politik kepada Perdana Menteri memaklumkan, Paya Rumput mempunyai karakter kawasan separa bandar yang memerlukan pendekatan berbeza berikutan terdapat perkampungan serta kawasan yang lebih membangun.
“Alhamdulillah, saya tahu bahawa secara geografinya Paya Rumput kawasannya adalah kawasan separa bandar. Apa yang boleh saya cuba tawarkan, perkhidmatan saya adalah saya cuba gunakan kedudukan saya berkhidmat dengan Perdana Menteri, pengalaman saya untuk membantu mempermudahkan segala keperluan.
“Ataupun perkara-perkara yang saya rasa yang perlu untuk orang Paya Rumputlah. Jadi, saya boleh gunakan hubungan saya dengan kerajaan Persekutuan umpamanya, kedudukan saya, jawatan saya untuk memberi perkhidmatan dekat sini. Jadi, hubungan itu saya akan guna sebaiknya untuk kebaikan pengundi ataupun penduduk di DUN Paya Rumput,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas selesai proses penamaan calon di Stadium Hang Jebat, pada Sabtu.
Mengulas mengenai penerimaan penduduk terhadap kehadirannya sepanjang program sebelum ini, Azman berkata, maklum balas diterima setakat ini adalah positif, namun beliau mahu melihat perkembangan sokongan sepanjang tempoh berkempen.
Menurut beliau, penduduk Paya Rumput yang sebahagian besarnya bekerja di kawasan bandar dilihat mempunyai pemikiran lebih terbuka dan berpotensi menerima perubahan yang mahu dibawa PH.
“Sambutan baik setakat ini. Cuma masa itu belum lagi mula berkempen. Jadi, kita cuba melihat setiap hari kempen bagaimana keadaan-keadaan sambutan setiap hari.
“Saya yakin bahawa orang Paya Rumput ini dia lebih terbuka kerana dia separa bandar. Ada kampung, tapi kebanyakannya mereka ini lebih terbuka dan melihat kepada keadaan situasi geografi kawasan ini.
“Kebanyakannya mereka bekerja di dalam bandar. Jadi, saya rasa pemikiran mereka lebih terbuka dan lebih mudah diterimalah perubahan yang kita nak bawa untuk mereka,” katanya.
Azman berkata, PH akan melaksanakan kempen secara berhemah dengan memberi tumpuan kepada pencapaian yang sudah dilaksanakan serta perancangan yang mahu dibawa kepada rakyat.
Beliau berkata, manifesto PH Melaka dijangka dilancarkan dalam tempoh satu atau dua hari lagi sebagai panduan kepada pengundi untuk menilai tawaran parti itu pada PRN kali ini.
“Insya-Allah daripada PH kita akan berkempen dengan cara berhemah. Kita tahu kita akan cuba membawa mesej apa yang kita dah lakukan dan apa yang kita akan lakukan.
“Kita harap bahawa kali ini kempen pilihan raya kali ini di negeri Melaka ini berjalan dengan baik, aman dan teratur. Manifesto, saya rasa insya-dalam masa terdekat, sehari dua hari lagi PH,” ujarnya
Tambahnya, PH akan melancarkan manifesto untuk negeri Melakalah dan beliau berharap rakyat Melaka boleh memberi peluang kepada calon-calon parti itu untuk memenangi kerusi di negeri Melaka.


