MELAKA TENGAH – Pertembungan antara parti politik pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka bukan satu pembaziran, sebaliknya proses demokrasi yang perlu dilaksanakan bagi memberi peluang kepada rakyat memilih kerajaan baharu.
Calon Pakatan Harapan (PH) Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, Datuk Azman Abidin berkata, persaingan antara parti termasuk Barisan Nasional (BN) dan Perikatan Nasional (PN) adalah perkara biasa dalam sistem pilihan raya negara.
Beliau yang juga Setiausaha Politik Perdana Menteri menegaskan, pilihan raya perlu diadakan selepas tempoh lima tahun bagi membolehkan rakyat menentukan mandat kepemimpinan di peringkat negeri mahupun Persekutuan.
“Kalau nak ikutkan, pilihan raya ini memang membazir duit, tetapi inilah demokrasi.
“Kita terpaksa menjalankan proses demokrasi ini dan pilihan raya perlu diadakan selepas lima tahun kerana kita mahu memilih kerajaan baharu, sama ada kerajaan negeri atau Persekutuan.
“Bagi saya, proses ini perlu kita lalui dan pertandingan pilihan raya itu perkara biasa,” katanya ketika ditemui media selepas proses penamaan calon PRN Melaka di Stadium Hang Tuah Jaya, pada Sabtu.
Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Pengerusi Barisan Nasional (BN) Johor yang mendakwa pihak lawan hanya membuang masa dan wang menyertai PRN Melaka bagi menentang Perikatan Nasional (PN) dan BN.
Mengulas mengenai persaingan dengan calon lain di DUN Paya Rumput, Azman berkata, setiap calon mempunyai kekuatan tersendiri dan beliau tidak memandang rendah kemampuan mana-mana pihak.
Katanya, beliau akan berusaha mendekati seramai mungkin penduduk di kawasan itu bagi memperkenalkan dirinya serta menjelaskan tawaran yang boleh diberikan kepada mereka.
“Bagi saya, sama ada siapa pun calon yang bertanding, saya melihat mereka mempunyai kekuatan yang berlainan. Dan saya kena berusahalah untuk mendekati sebanyak mana mungkin orang Paya Rumput untuk mengenali saya dan apa yang boleh saya tawarkan untuk mereka.
”Insya-Allah, saya rasa semua calon-calon yang bertanding kali ini pun ada kekuatan masing-masing. Saya tak boleh nak underestimate kekuatan masing-masing, dan saya cuba sedaya upaya saya untuk memberi pilihan yang terbaik untuk orang Paya Rumput,” katanya.


