
PETALING JAYA – Keputusan mengembalikan Ketua Pengarah Agensi Kawalan dan Perlindungan Sempadan Malaysia (AKPS), Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain ke Polis Diraja Malaysia (PDRM) merupakan urusan pentadbiran Kementerian Dalam Negeri (KDN).
Peguam Negara, Tan Sri Mohd Dusuki Mokhtar berkata, Jabatan Peguam Negara (AGC) tidak mempunyai penglibatan dalam keputusan penempatan Mohd Shuhaily, sama ada untuk dikekalkan di AKPS atau dikembalikan ke PDRM.
Menurutnya, perkara itu terletak di bawah bidang kuasa pentadbiran KDN memandangkan Mohd Shuhaily merupakan pegawai polis yang berkhidmat secara kontrak di AKPS.
“AGC tidak terlibat dalam keputusan itu,” katanya, seperti dipetik berita tempatan pada Sabtu.

Minggu lalu, KDN memutuskan untuk mengembalikan Mohd Shuhaily yang berkhidmat secara pinjaman kader sebagai Ketua Pengarah AKPS ke PDRM.
Mengulas lanjut, Mohd Dusuki berkata, AGC juga masih belum menerima sebarang rujukan rasmi atau mengeluarkan pandangan undang-undang berhubung perkara berkenaan.
“AGC belum memberikan pandangan secara rasmi kerana perkara itu masih belum dirujuk kepada jabatan ini.
“AGC hanya akan memberikan nasihat sekiranya menerima rujukan berkaitan perkara yang memerlukan pandangan undang-undang,” katanya.
Sebelum ini, Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Khalid Ismail dilaporkan berkata, kedudukan perkhidmatan Mohd Shuhaily dirujuk kepada AGC bagi mendapatkan pandangan undang-undang sebelum dipersembahkan kepada Yang di-Pertuan Agong untuk mendapatkan perkenan.


