
MERLIMAU – Pendekatan promosi secara ‘mulut ke mulut’ menerusi jentera kaum ibu dan wanita menjadi antara taruhan calon Pakatan Harapan (PH), Rahayu Hamzah, dalam usaha meraih sokongan pengundi pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka di Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau.
Beliau berkata, sokongan wanita yang sudah lama mengenalinya mampu membantu menyampaikan kepada masyarakat mengenai usaha, khidmat dan sumbangan yang dilakukannya selama ini.
Katanya, pendekatan itu penting bagi memastikan pengundi mengenali dirinya dengan lebih dekat, selain memahami komitmen serta kesediaannya untuk berkhidmat kepada masyarakat sekiranya diberi mandat.
“Insya-Allah, pasukan kaum ibu dan wanita yang mengenali saya sejak dahulu akan membantu menyampaikan kepada masyarakat secara mulut ke mulut mengenai segala usaha dan kerja yang sudah saya lakukan selama ini.
“Saya berharap dapat diterima masyarakat dan bersedia menyahut cabaran serta menunaikan tanggungjawab dan amanah sekiranya diberi kepercayaan sebagai wakil rakyat di DUN,” katanya ketika ditemui The Malaysia Press (TMP) pada Sabtu.
Rahayu berkata, hasratnya untuk membawa suara masyarakat setempat juga selari dengan aspirasi PH yang mahu memperkasa peranan wanita dalam kepemimpinan.
Mengulas perancangan sekiranya diberi mandat, beliau berkata, pendekatan yang akan dibawa adalah berteraskan aspirasi ditawarkan kerajaan, khususnya dalam aspek pendidikan, pembangunan masyarakat serta peluang kepada golongan muda.
Katanya, pelbagai inisiatif kerajaan MADANI juga perlu dimanfaatkan bagi memastikan golongan muda dan wanita mendapat peluang lebih luas, terutama dalam bidang pendidikan dan pembangunan diri.
Untuk rekod, Rahayu yang juga Ketua Wanita Melaka akan berdepan penyandang kerusi DUN Merlimau, Datuk Dr Muhamad Akmal Saleh, pada PRN Melaka kali ini.

