
MERLIMAU – Penyokong calon Pakatan Harapan (PH) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Merlimau, Rahayu Hamzah, berharap beliau dapat membawa perubahan positif serta memberi perhatian terhadap kebajikan masyarakat sekiranya diberi mandat pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka.
Mereka turut berharap calon berkenaan dapat memperjuangkan kepentingan rakyat, khususnya dalam aspek pembangunan negeri, pendidikan dan pembentukan generasi muda yang berteraskan nilai al-Quran.
Seorang penyokong, Sanisah Huri berkata, dia berharap generasi al-Quran dapat terus dilahirkan, selain kemajuan negeri dipertingkatkan demi kesejahteraan masyarakat.
“Semoga calon PH dapat melahirkan generasi cintakan al-Quran dan kemajuan negeri terus berkembang, terutama dalam kalangan masyarakat,” katanya kepada The Malaysia Press (TMP) disini, hari ini.
Sementara itu, seorang lagi penyokong, Om Omar, berharap pemimpin yang dipilih kelak sentiasa mengutamakan tanggungjawab terhadap rakyat dan prihatin terhadap keperluan mereka.
Katanya, pemimpin perlu bersedia membantu masyarakat mengikut kemampuan serta tidak mengabaikan permintaan rakyat yang memerlukan perhatian.
“Kalau rakyat minta tolong, kalau boleh tolong, tolonglah. Kalau tidak, susahlah rakyat. Saya rasa seorang pemimpin perlu ada rasa tanggungjawab terhadap rakyat,” katanya.
Dia berharap Rahayu dapat membawa amanah berkenaan sekiranya diberikan kepercayaan untuk mewakili penduduk DUN Merlimau.

