
SRI AMAN – Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengingatkan kepada seluruh rakyat Sarawak sentiasa berhati-hati agar perpaduan yang telah lama terjalin di negeri ini kekal utuh.
Beliau yang memberi bayangan bahawa terdapat pihak kelihatan ‘cemburu’ dan ingin memecah-belahkan perpaduan yang sedia ada.
Jelasnya, segala usaha dan manfaat yang telah dilaksana pihaknya selama ini adalah untuk dinikmati oleh seluruh rakyat Sarawak sendiri.
“Jaga jaga. Pandai-pandailah kita jaga negeri kita. Ada unsur-unsur yang mahu pecah belahkan perpaduan.
“Segala kerja yang sudah dilaksana bukan untuk kami, bukan untuk pemimpin. Tetapi semuanya adalah rakyat Sarawak. Kita jaga Sarawak,” katanya ketika berucap merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) bahagian Sri Aman, hari ini.
Ujar beliau lagi, segala manfaat yang telah diberikan selama ini adalah untuk dinikmati seluruh anak-anak Sarawak tanpa mengira kaum, agama dan latar belakang.
Untuk rekod, antara bantuan dan inisiatif utama Sarawak adalah memberi tumpuan kepada pendidikan, kos sara hidup, kebajikan rakyat, perumahan, kesihatan dan pembangunan ekonomi.
Ini termasuklah pendidikan tinggi percuma (FTES), pemberian laptop percuma, sumbangan keperluan asas Sarawak (SKAS), diskaun bil elektrik, bantuan ibu bersalin, Kenyalang Gold Card, pesakit buah pinggang, subsidi bayaran balik PTPTN, Rumah Spektra Permata, dan banyak lagi.



