
SRI AMAN – Pembinaan Jambatan Batang Lupar 2 dan Jambatan Sungai Lingga dijangka membawa perubahan besar kepada landskap pembangunan Bahagian Sri Aman, khususnya dalam meningkatkan kemudahan perhubungan, memendekkan masa perjalanan serta membuka lebih banyak peluang ekonomi kepada penduduk setempat.
Kedua-dua projek infrastruktur itu bukan sahaja memudahkan pergerakan penduduk, malah berpotensi merancakkan sektor pelancongan dan aktiviti ekonomi, sekali gus menjadi pemangkin kepada pembangunan Sri Aman pada masa hadapan.
Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh berkata, pembangunan infrastruktur berkualiti merupakan asas penting dalam merangsang pertumbuhan ekonomi, meningkatkan taraf hidup serta menjamin kesejahteraan rakyat.
“Antara projek utama di Bahagian Sri Aman ialah Jambatan Batang Lupar 2 yang mempunyai panjang kira-kira 870 meter, ketinggian 145.5 meter dengan nilai projek sekitar RM223.6 juta.
“Apabila Jambatan Batang Lupar 2 siap kelak, jambatan berkenaan dijangka menjadi jambatan jenis ‘cable-stayed’ (kabel tambat) tertinggi di Malaysia,” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman 2026 di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.
Selain itu, Jambatan Sungai Lingga sepanjang kira-kira 724.86 meter dengan nilai projek RM92.4 juta turut dibangunkan bagi memperkukuh jaringan perhubungan penduduk serta membuka lebih banyak peluang kepada aktiviti ekonomi dan pelancongan.

Dalam perkembangan berkaitan, Sarawak turut mempergiat usaha pembangunan tenaga boleh baharu menerusi projek solar terapung berkapasiti 50 megawatt di Empangan Hidroelektrik Batang Ai.
Projek itu berpotensi menyokong agenda tenaga hijau negeri, selain membuka peluang pelaburan dan merangsang pembangunan ekonomi setempat.
Bagaimanapun, beliau menegaskan bahawa setiap pembangunan infrastruktur perlu disokong perancangan teliti, penyelenggaraan berterusan serta penyelarasan antara agensi bagi memastikan pelaburan yang dilaksanakan memberikan manfaat optimum kepada rakyat.
“Kesemua inisiatif ini mencerminkan kepentingan infrastruktur dan teknologi sebagai pemangkin kepada pembangunan Sri Aman pada masa hadapan,” katanya.



