
ARAU – Polis menahan seorang remaja lelaki berusia 14 tahun yang disyaki membaling batu sehingga menyebabkan cermin tingkap tren Komuter Utara pecah dan seorang penumpang wanita cedera berhampiran jejantas Kampung Jelompok, di sini, Khamis lalu.
Remaja terbabit ditahan sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Arau bersama Task Force Balai Polis Arau menerusi Op Cantas di sebuah rumah sekitar Arau, hari ini.
Ketua Polis Daerah Arau, Superintendan Ahmad Mohsin Md. Rodi berkata, siasatan awal mendapati suspek mengaku sengaja membaling seketul batu ke arah tren yang sedang bergerak kira-kira pukul 6 petang.
“Ketika kejadian, suspek bersama empat rakannya sedang berkumpul di kawasan jejantas motosikal Kampung Jelompok sebelum dia bertindak membaling batu ke arah tren berkenaan.
“Bagaimanapun, siasatan mendapati empat rakannya tidak terlibat dalam perbuatan itu, sebaliknya hanya menyaksikan tindakan suspek,” katanya hari ini.
Menurutnya, polis turut merampas seketul batu dipercayai digunakan dalam kejadian tersebut selain sebuah telefon bimbit jenis Vivo Y05 bersama kad SIM bagi membantu siasatan.
Beliau berkata, semakan mendapati remaja yang masih bersekolah itu tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau.
“Suspek ditahan di lokap Balai Polis Kangar bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 427 Kanun Keseksaan kerana melakukan khianat dan dijangka dilepaskan dengan jaminan polis petang ini,” katanya.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang, 29 Oktober lalu, cermin tingkap bahagian kiri koc tengah tren Komuter Utara No. 2951 dari Padang Besar menuju ke Butterworth pecah selepas dipercayai terkena objek yang dibaling dari luar.
Insiden itu menyebabkan seorang penumpang wanita mengalami kecederaan ringan pada tangan, namun mangsa menolak tawaran mendapatkan rawatan di hospital kerana kecederaannya tidak serius.
Kejadian tersebut turut menyebabkan perjalanan tren mengalami kelewatan selama 23 minit dengan kerugian akibat kerosakan cermin dianggarkan RM2,000.
Terdahulu, pemandu tren berusia 30 tahun membuat laporan polis pada pukul 12.32 tengah hari semalam selepas kejadian berkenaan turut tular di media sosial.



