BUKIT KATIL – Kemenangan dalam pilihan raya bukan ditentukan oleh pihak yang paling lantang bersuara, sebaliknya keupayaan meraih keyakinan dan kepercayaan rakyat.
Setiausaha Agung PKR, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata, Pakatan Harapan (PH) menginsafi hakikat itu dan akan mengutamakan pendekatan kempen secara aman sepanjang Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka ke-16.
Beliau berpandangan, PRN adalah sebagai ‘pesta demokrasi’, sambil menyatakan gabungan itu akan mempromosikan penghormatan terhadap perbezaan pandangan dalam politik.
“Kami akan ketengahkan kempen aman sebab kami insaf bahawa kempen pilihan raya bukan diukur kemenangan daripada pihak mana yang paling lantang tapi sebenarnya siapa yang paling dipercayai, paling diyakini.
“Kami mahu kempen yang aman kerana pilihan raya bukan diukur berdasarkan pihak mana paling lantang, tetapi siapa paling dipercayai dan diyakini,”katanya pada sidang media di Bilik Gerakan Utama (BGU) PH, pada Sabtu.
Dalam pada itu, Saifuddin berkata, fokus PH adalah memperkenalkan 24 calon yang dipertaruhkan kepada pengundi menerusi gabungan muka lama berpengalaman dan muka baharu.
Menurutnya, gabungan itu diyakini mampu menawarkan calon yang mempunyai rekod khidmat, keupayaan serta latar belakang berbeza mengikut keperluan kawasan masing-masing.
“PH menyedari kemenangan dalam PRN bukan sekadar mandat politik, sebaliknya tanggungjawab untuk meneruskan pentadbiran yang memberi keutamaan kepada prestasi, tadbir urus dan kebajikan rakyat.
“Kami tidak pernah sama sekali memandang rendah kebijaksanaan rakyat, khususnya rakyat negeri Melaka,” katanya.
PRN Melaka ke-16 menyaksikan PH mempertaruhkan 24 calon, masing-masing 10 daripada PKR serta tujuh calon DAP dan tujuh Amanah dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November sebagai hari pengundian.


