
SRI AMAN – Sebarang cadangan penambahan kerusi Parlimen bagi Sabah dan Sarawak perlu melalui proses perundangan serta mendapat kelulusan Parlimen terlebih dahulu sebelum dapat dilaksanakan, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Beliau berkata, cadangan berhubung peningkatan perwakilan Ahli Parlimen kedua-dua negeri sehingga 35 peratus, seperti dinyatakan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perlu dilaksanakan mengikut prosedur dan lunas undang-undang yang ditetapkan.
Menurutnya, sebarang perubahan membabitkan jumlah kerusi Parlimen serta persempadanan kawasan pilihan raya perlu terlebih dahulu dibawa ke Parlimen untuk mendapatkan kelulusan sebelum diserahkan kepada Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) bagi tindakan selanjutnya.
“Proses berkenaan penting bagi memastikan setiap perubahan yang dicadangkan dilaksanakan secara teratur dan mematuhi kerangka perundangan negara,” katanya.
Kenyataan itu turut memperlihatkan bahawa cadangan penambahan perwakilan Sabah dan Sarawak bukan sekadar memerlukan persetujuan pada peringkat prinsip kerajaan, sebaliknya perlu melalui proses perundangan sebelum dapat direalisasikan.
Abang Johari berkata demikian ketika ditemui pada sidang media selepas merasmikan Program Sarawakku Sayang (SKS) Bahagian Sri Aman di Kompleks Sukan Sri Aman, hari ini.



