
SRI AMAN – Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan Sarawak, Datuk Dr Malcolm Mussen Lamoh menyuarakan bagi memohon pertimbangan dan sokongan daripada Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Tun Openg dalam melaksanakan pembinaan sebuah kampus tetap Sarawak Skills di daerah ini.
Katanya, pembangunan kemahiran merupakan elemen penting dalam memastikan golongan belia bersedia menghadapi keperluan pekerjaan masa hadapan.
Tegasnya, penubuhan kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman dilihat mampu memperluas akses kepada pendidikan dan latihan teknikal serta vokasional (TVET), di samping memperkukuh keupayaan tenaga kerja tempatan.
“Saya ingin memberikan perhatian khusus kepada pembangunan kemahiran dan pendidikan teknikal di Sri Aman.
“Justeru, bagi membolehkan lebih ramai pelajar diterima dan lebih banyak kursus teknikal ditawarkan, saya dengan penuh hormat memohon pertimbangan dan sokongan Yang Amat Berhormat Premier untuk membina sebuah kampus tetap Sarawak Skills di Sri Aman,” katanya ketika berucap pada Program Sarawakku Sayang Bahagian Sri Aman, pada Sabtu.

Tambah Malcolm, inisiatif berkenaan juga dijangka membuka lebih banyak peluang kepada golongan belia di kawasan tersebut untuk meningkatkan kemahiran, memperoleh kelayakan profesional serta mengambil bahagian secara lebih aktif dalam pembangunan ekonomi negeri.
Katanya, Sarawak Skills Training Centre di Sri Aman telah beroperasi di premis sewa sejak tahun 2024. Dalam tempoh tersebut, kira-kira 67 orang pelajar telah mengikuti tiga program Sijil Kemahiran Malaysia (SKM) iaitu SKM Elektrik Tahap 2, SKM Sistem Komputer Tahap 3, SKM Perladangan Tahap 3.
Selain itu, seramai 1,766 orang telah mengikuti pelbagai kursus jangka pendek, termasuk pemantapan kemahiran teknologi maklumat untuk ketua komuniti, kecerdasan buatan atau AI untuk produktiviti belia, pemprosesan produk hiliran berasaskan nanas dan reka bentuk profesional menggunakan Canva.



