UMNO berisiko kecundang pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16) sekiranya pihak lawan berjaya memenangi persaingan persepsi bagi meragut kewibawaan kepimpinan Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.
Felo Majlis Profesor Negara, Profesor Dr Azmi Hassan berkata, kerjasama politik antara UMNO dan Pas juga akan menemui jalan buntu sekiranya usaha menggugat prestasi Ahmad Zahid berjaya dilaksanakan.
“Ketika ini wujud gerakan terancang dilihat sengaja ditiupkan bagi menanam kesangsian terhadap keupayaan politik Timbalan Perdana Menteri itu.
“Jika persepsi negatif terhadap kewibawaan Ahmad Zahid berjaya dijual kepada umum bukan sahaja kerjasama UMNO-Pas akan menemui kegagalan tetapi berdepan laluan sukar dalam arena politik.
“Malah, berisiko kecundang jika terpaksa bergerak secara bersendirian pada PRU16 kelak,” katanya menerusi hantaran video yang dikongsikan di Facebook miliknya, pada Rabu
Mengulas lanjut, Azmi memaklumkan, usaha menggugat reputasi Ahmad Zahid dapat dilihat menerusi beberapa siri isu yang sengaja diputar termasuk tindakan Majlis Peguam yang mencabar keputusan Pelepasan Tanpa Pembebasan (DNAA) kes Yayasan Akalbudi.
“Itu yang pertama. Kemudian timbul pula desas-desus dalaman bahawa di dalam UMNO itu bukan Ahmad Zahid seorang sahaja yang layak atau mampu menjadi Perdana Menteri in waiting selepas ini.

“Malah timbul persoalan sama ada Pas sanggup menerima Ahmad Zahid sebagai Perdana Menteri sekiranya wujud kerjasama politik antara kedua-dua parti tersebut,” katanya.
Dalam pada itu, Azmi memaklumkan, serangan persepsi terbaharu turut dilancarkan apabila kemunculan Pengerusi Barisan Nasional (BN) itu berucap di hadapan mahasiswa Universiti Teknologi MARA (UiTM) baru-baru ini turut dijadikan bahan pertikaian.
“Tindakan itu sangat tidak wajar memandangkan kehadiran Ahmad Zahid di UiTM adalah atas kapasiti rasmi kerajaan bagi memperkasakan agenda Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) serta ekonomi Bumiputera, wujud pula pihak yang sengaja membentuk persepsi negatif.
“Naratif buruk itu dilihat sengaja dimainkan berlatarbelakangkan landskap politik semasa di Johor, Negeri Sembilan dan Melaka yang menyaksikan perbincangan kerjasama antara UMNO serta Pas,” katanya.








