KOTA TINGGI – Kementerian Pertahanan akan menubuhkan jawatankuasa khas bagi meneliti insiden penemuan dadah di Bangunan Pergerakan Udara, Pangkalan Udara Subang, baru-baru ini.
Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, semakan itu bertujuan menentukan sama ada kegiatan berkenaan merupakan kes terpencil atau sudah menjadi budaya dalam Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
“Selepas itu (siasatan polis), memang kita akan tubuhkan jawatankuasa kerana kita mahu meneliti sama ada ini kes terpencil ataupun sudah menjadi budaya,” katanya, seperti dilapor Sinar Harian.
Beliau berkata, jawatankuasa itu akan mengenal pasti kelemahan prosedur keselamatan selain menyiasat kemungkinan terdapat anggota lain yang bersekongkol dengan sindiket berkenaan.
“Oleh sebab perkara ini berlaku, kita tidak menolak kemungkinan aset tentera seperti pesawat pengangkut digunakan oleh sindiket untuk menjalankan aktiviti mereka,” katanya pada sidang akhbar selepas Program Hari Apresiasi Kanak-kanak KEMAS Parlimen Kota Tinggi 2026 di Desaru, Bandar Penawar, di sini, hari ini.
Khaled menegaskan kementeriannya tidak akan berkompromi dengan mana-mana anggota yang terbabit dan akan memberi kerjasama penuh bagi membantu siasatan polis.
Terdahulu, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, mendedahkan pegawai TUDM termasuk juruterbang dipercayai terbabit dalam kes penyeludupan dadah membabitkan jumlah yang besar.
Pada Khamis lalu, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik Bukit Aman, Datuk Hussein Omar Khan, mengesahkan lima pegawai TUDM antara 11 individu yang ditahan di sekitar Lembah Klang dan Labuan kerana disyaki terbabit dalam aktiviti pengedaran 96.64 kilogram dadah menggunakan aset TUDM.
Seramai 11 individu termasuk enam orang awam diberkas susulan penemuan dadah jenis syabu yang dianggarkan bernilai RM4.83 juta.

