
KANGAR – Angkatan Muda Keadilan (AMK) Perlis menyambut baik cadangan supaya parti komponen Pakatan Harapan (PH) menggunakan logo masing-masing pada Pilihan Raya Umum Ke-16 (PRU16).
Naib Ketua AMK Perlis, Khalid Imran Mas Ahmad Nasruddin berkata, pihaknya menyokong pandangan Ketua AMK Malaysia, Muhammad Kamil Abdul Munim yang membuka ruang pertimbangan terhadap penggunaan logo parti masing-masing dalam pilihan raya akan datang.
“Logo PKR bukan sekadar lambang parti, tetapi simbol perjuangan Reformasi yang telah dibina hampir tiga dekad.
“Malah, logo inilah yang pernah digunakan oleh calon-calon Pakatan Harapan sehingga mencipta sejarah perubahan kerajaan pada PRU14 tahun 2018,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, penggunaan logo parti masing-masing tidak semestinya menjejaskan kesepaduan PH selagi parti komponennya terus berpegang kepada prinsip dan dasar perjuangan yang dipersetujui bersama.
“Kami percaya penggunaan logo parti masing-masing tidak semestinya menjejaskan kesepaduan Pakatan Harapan.
“Kesatuan politik bukan terletak pada persamaan lambang, tetapi pada kesepakatan prinsip, dasar dan perjuangan,” katanya.
Sehubungan itu, Khalid Imran berharap kepimpinan tertinggi PH memberikan pertimbangan sewajarnya terhadap pandangan yang dikemukakan Muhammad Kamil berhubung strategi penggunaan logo pada PRU16.
Terdahulu, Muhammad Kamil dilaporkan berkata, PKR tidak menolak kemungkinan parti komponen PH bertanding menggunakan logo masing-masing pada PRU16, namun perkara itu perlu diperhalusi oleh kepimpinan tertinggi gabungan berkenaan.
Beliau turut menjelaskan bahawa kejayaan dalam pilihan raya tidak bergantung kepada logo semata-mata, sebaliknya turut mengambil kira strategi politik, pendekatan kepada rakyat, perkhidmatan dan pemilihan calon.



