
UMNO perlu tampil menjelaskan siapa sebenarnya yang mengarahkan Menteri Besar Negeri Sembilan, Datuk Ismail Lasim dalam beberapa episod kontroversi politik negeri itu, termasuk dakwaan penghantaran surat peletakan jawatannya kepada Istana tanpa persetujuannya.
Naib Presiden Parti Amanah Negara (Amanah), Datuk Mahfuz Omar berkata, pengakuan Ismail bahawa surat peletakan jawatannya berada dalam simpanan pimpinan parti sebelum dihantar kepada Istana menimbulkan persoalan serius mengenai pihak yang sebenarnya mengendalikan pentadbiran kerajaan negeri.
Beliau mempersoalkan sama ada tindakan tersebut dibuat atas arahan kepimpinan UMNO atau merupakan keputusan individu tertentu.
Menurutnya, perkara itu perlu diperjelaskan memandangkan Ismail sebelum ini turut mendakwa dipaksa menandatangani Surat Cara Proklamasi berkaitan usaha menurunkan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir daripada takhta.
“Siapa yang mengarahkan Ismail menandatangani dokumen berkaitan usaha menurunkan Tuanku Muhriz? Siapa yang memberikan tekanan sehingga beliau mendakwa terpaksa menandatanganinya?
“Siapa pula yang mengarahkan surat peletakan jawatannya dihantar kepada Istana?” katanya dalam satu kenyataan media.
Mahfuz berkata, rentetan peristiwa itu menimbulkan persoalan sama ada Menteri Besar benar-benar membuat keputusan sendiri atau sekadar mengikut arahan pihak tertentu di belakang tabir.
Katanya, jika Ismail hanya bertindak mengikut arahan, rakyat berhak mengetahui siapa individu yang sebenarnya membuat keputusan dalam kemelut politik berkenaan.
“Jangan sampai Menteri Besar hanya memegang mikrofon di hadapan, sedangkan skrip, arahan dan jalan cerita semuanya ditulis oleh orang lain di belakang tabir,” katanya.
Dalam pada itu, beliau mendesak Polis Diraja Malaysia (PDRM) memberikan penjelasan terkini berhubung perkembangan siasatan laporan polis yang dibuat Ismail berkaitan dakwaan beliau dipaksa menandatangani dokumen berkenaan.
Menurut Mahfuz, kertas siasatan dilaporkan telah dikembalikan oleh Jabatan Peguam Negara untuk tindakan lanjut dan rakyat berhak mengetahui perkembangan serta hasil siasatan tersebut.
Beliau turut mempersoalkan sama ada individu yang didakwa terlibat telah dikenal pasti, selain sama ada keterangan pemimpin parti berkaitan sudah diambil bagi membantu siasatan.
“Kalau benar Ismail dipaksa, siapa pemaksanya? Kalau benar beliau mengikut arahan parti, siapa yang mengeluarkan arahan?
“UMNO mesti menjawab dan polis mesti menyiasat. Rakyat Negeri Sembilan berhak mengetahui kebenaran,” katanya.
Mahfuz turut mengingatkan bahawa institusi Raja tidak sepatutnya dijadikan medan percaturan politik kepartian kerana kedudukannya dilindungi oleh kerangka Perlembagaan dan sistem Raja Berperlembagaan negara.
Tegasnya, parti politik boleh menentukan pendirian dan arahan kepada ahli masing-masing, namun tidak mempunyai kuasa untuk mengatasi Perlembagaan serta institusi Raja.
Beliau berkata, rakyat tidak mahu Negeri Sembilan ditadbir oleh kerajaan yang mempunyai Menteri Besar di hadapan tetapi pihak lain yang menentukan keputusan di belakang tabir.
“Rakyat memilih kerajaan untuk mentadbir negeri, bukan untuk menjadi alat percaturan politik parti.
“Jangan sampai yang memegang jawatan tidak memegang kuasa, yang memegang kuasa tidak memikul tanggungjawab dan yang memikul tanggungjawab akhirnya menjadi kambing hitam,” katanya.



