
MELAKA – Jumlah pengundi yang bakal melaksanakan tanggungjawab mereka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka pada 14 November ini kira-kira seramai 687,697 orang berbanding PRN sebelum itu.
Ia berdasarkan rekod sehingga Julai 2026, jumlah pemilih berdaftar di Melaka mencecah 687,697 orang berbanding 495,195 pemilih pada PRN 2021.
Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan 14 November depan sebagai hari mengundi bagi Pilihan Raya Negeri (PRN) Dewan Undangan Negeri (DUN) Melaka ke-16.
Pengerusinya, Datuk Seri Ramlan Harun berkata, hari penamaan calon ditetapkan pada 31 Oktober, manakala pengundian awal akan berlangsung pada 10 November.
“Tempoh berkempen bagi PRN Melaka ke-16 ditetapkan selama 14 hari bermula sejurus pengisytiharan calon-calon yang bertanding pada 31 Oktober sehingga 11.59 malam, 13 November,” katanya pada sidang media pengumuman tarikh-tarikh penting PRN Melaka di sebuah hotel di sini, hari ini.
Beliau berkata, permohonan undi pos bagi PRN Melaka telah dibuka bermula 23 September lalu.
“Tarikh tutup permohonan undi pos Kategori 1A iaitu petugas pilihan raya, ahli dan pegawai SPR, anggota polis, tentera dan petugas media adalah pada 28 Oktober,” katanya.
PRN Melaka diadakan susulan pembubaran DUN ke-15 pada 23 September lalu yang diumumkan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh di Kompleks Seri Negeri.
Pada PRN 2021, Barisan Nasional menguasai 21 daripada 28 kerusi DUN, manakala Pakatan Harapan memenangi lima kerusi dan Perikatan Nasional dua kerusi.
PRN Melaka adalah PRN ketiga diadakan tahun ini selepas PRN Johor pada 11 Julai dan Negeri Sembilan pada 1 Ogos lalu.





